Rabu, 15 Jun 2011

DSAI KEMBALI LAGI......!!!

Setelah enam bulan digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini kembali ke Parlimen.
Tiba di lobi Parlimen tepat jam 10 pagi, Anwar berwajah ceria disambut beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat.
Turut tiba di Parlimen pagi ini ialah tiga lagi wakil Pakatan Rakyat yang digantung daripada menghadiri sidang iaitu Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak), Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), R. Sivarasa (PKR-Subang).
Sebelum masuk ke dewan, Anwar berbual-bual dengan wakil Pakatan yang mengucapkan "selamat kembali ke Parlimen" kepadanya.
Kesemua mereka berwajah ceria dan gembira menyambut kehadiran keempat-empat mereka.
Antara wakil PAS yang menyambut kehadiran mereka ialah Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena), Datuk Seri Nizar Jamaluddin (Bukit Gantang), Dr. Hatta Ramli (Kuala Krai), Mohd Firdaus Jaafar (Jerai).
Diminta wartawan untuk memberikan sedikit komentar setelah kembali ke Parlimen, sambil tersenyum Anwar hanya menjawab "nak komen apa dah 10 tahun saya di Parlimen".
Disember lalu, Speaker Dewan Rakyat menerima syor Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen menggantung Anwar dan tiga yang lain daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan ekoran dakwaan Anwar yang mengaitkan konsep “1Malaysia” dengan “One Israel”.
Sementara itu, sidang Dewan Rakyat pagi ini bertukar "panas" dengan kehadiran mereka apabila Anwar mengemukakan soalan berhubung Felda.

ZAHRAIN....OHH..ZAHRAIN...........

Hasrat Ahli Parlimen Bebas Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Hashim yang mahu Dewan Rakyat mengecam tindakan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) untuk mengadakan perhimpunan 9 Julai ini, tidak kesampaian.

Ianya ekoran usul yang dikemukakan oleh beliau itu ditolak oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar(gambar) mengambil ketetapan menolak usul yang dibawanya itu mengikut Peraturan Mesyuarat 18(1) itu selepas berpuas hati bahawa usul itu tidak perlu disegerakan.

"Kementerian Dalam Negeri melalui Polis Diraja Malaysia telah mengambil langkah perlu sebagai persediaan untuk menangani perhimpunan BERSIH itu dan akan sentiasa memantau aktiviti-aktiviti yang dijalankan agar dapat dibanteras dan dipastikan tidak berlaku perkara yang tidak diingini yang boleh mengancam keselamatan negara dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara," katanya.

Terdahulu selepas sesi soal jawab selesai, Zahrain mengemukakan usul meminta dewan mengambil ketetapan untuk mengecam sekeras-kerasnya segala tindakan Bersih.

Ianya termasuk gerakan 'menghasut' rakyat agar merusuh di jalanan sepertimana yang berlaku di beberapa negara Timur Tengah, termasuk Tunisia dan Mesir.

Beliau juga mahu persidangan mendesak Bersih supaya membatalkan cadangan mengadakan demonstrasi baik di Kuala Lumpur, mahupun di mana-mana negeri demi keselamatan rakyat dan negara.

Bersih yang turut disokong parti-parti politik Pakatan Rakyat serta NGO lain bercadang menghimpunkan lebih 500 ribu rakyat berarak dari beberapa lokasi di ibu negara menuju ke Istana Negara bagi menuntut reformasi pilihan raya.

Jika berjaya, ianya merupakan kali kedua diadakan selepas himpunan Bersih pertama pada 10 November 2007.

Sejak hasrat mengadakan himpunan itu dihebahkan, ianya kini mengundang reaksi penentangan oleh beberapa pihak termasuk kumpulan pendesak Melayu, Perkasa.

Presidennya, Ibrahim Ali kelmarin menegaskan mereka juga akan mengerahkan ahlinya berhimpun pada hari sama bagi menghalang peserta himpunan Bersih.

Selain itu, dalam perkembangan terbaru pihak polis juga telah mengeluarkan amaran untuk membuat tangkapan awal sebagai langkah pencegahan.

Bersih 2.0: Polis patut kerjasama, bukan tangkap...!!!

Pakatan Rakyat amat kesal dengan tindakan pihak polis yang akan melakukan tangkapan awal atau tangkapan pencegahan terhadap penganjur Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini, memandangkan ia jelas merupakan salahguna kuasa yang dilakukan oleh pihak polis di negara ini.

Tindakan seperti itu tidak sepatutnya dilakukan oleh pihak polis kerana tangkapan yang dilakukan itu bukan sekadar bercanggah dengan amalan demokrasi, tetapi juga melakukan tangkapan terhadap orang yang belum terbukti bersalah.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, Himpunan Bersih 2.0 diadakan atas tujuan yang murni bagi mendesak kerajaan melaksanakan pilihan raya yang bersih dan adil di negara ini.

Menurut beliau, pihak polis perlu faham perkara itu dan sepatutnya memberikan kerjasama yang baik kepada pihak penganjur, bukannya dengan menangkap individu yang belum terbukti bersalah bagi menghalang perhimpunan itu.

Katanya, sekiranya tindakan itu dilakukan, rakyat pasti akan menjadi lebih marah kepada kerajaan dan ia dibimbangi akan mencetuskan suasana lebih buruk di tanah air.

"Himpunan itu akan diadakan atas tuntutan rakyat. Kita nak mendesak kerajaan melaksanakan pilihanraya yang bersih dan adil. Kenapa pula polis nak melakukan tangkapan awal? Itu salah dari segi undang-undang," katanya ketika ditemui di lobi bangunan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar, seperti yang dilaporkan media tempatan hari ini.

Dalam laporan itu, Khalid berkata, pihak polis akan melakukan tangkapan awal terhadap pemimpin penganjur Himpunan Bersih 2.0 yang dijadualkan diadakan 9 Julai ini sebagai tangkapan pencegahan.

Menurut Mahfuz, tindakan tersebut jika dilakukan pasti akan turut membangkitkan kemarahan rakyat terhadap pihak polis, sedangkan pihak pembangkang atau Pakatan Rakyat tidak pernah berhasrat untuk bermusuhan dengan pihak polis.

Sementara Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PKR, Datuk Johari Abdul ketika ditemui berkata, tindakan tersebut tidak sepatutnya dilakukan oleh pihak polis kerana Himpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan oleh Gabungan Pilihanraya Adil dan Bersih itu adalah himpunan aman.

"Tujuan himpunan itu diadakan adalah untuk mendesak SPR mengadakan pilihanraya yang bersih dan adil di negara ini dan ia amat perlu didengar oleh SPR dan kerajaan.

"Kalau polis nak lakukan tangkapan awal, siapa yang nak ditangkap? Berapa orang yang nak ditangkap? Apa kesalahan mereka? Mana boleh polis tangkap begitu saja tanpa terbukti orang itu bersalah," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani berharap agar tindakan itu tidak akan dilakukan, tetapi menyarankan pihak polis mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan pihak penganjur bagi memberikan kerjasama agar himpunan tersebut dapat diadakan dengan sempurna.

Manakala Ahli Parlimen Jelutong dari DAP, Jeff Ooi pula berkata, apa pun alasan yang digunakan oleh pihak polis bagi mengadakan tangkapan itu sama ada tangkapan awal atau tangkapan pencegahan, kedua-duanya adalah kesilapan besar jika dilakukan oleh pihak polis.

Menurut beliau, tindakan tersebut jika dilakukan jelas bersalahan dengan amalan demokrasi dan lebih menyerlahkan lagi amalan pemerintahan kuku besi di negara ini oleh kerajaan BN.

"Polis perlu peka perkara itu bukannya melakukan tangkapan awal atau tangkapan pencegahan. Himpunan itu diadakan lanjutan himpunan pertama yang diadakan pada tahun 2007 lalu.

"Menerusi Himpunan Bersih 1.0 tahun 2007 lalu, Bersih menuntut SPR dan kerajaan melaksanakan 4 perkara.

"Antara perkara yang dituntut dilaksanakan oleh SPR adalah penggunaan dakwat dalam pilihanrya, bersihkan daftar pilihanraya dan mansuhkan undi pos.

"Sehingga kini SPR masih tidak melayan tuntutan Bersih itu. Jadi jika himpunan Bersih 2.0 hendak diadakan, kenapa polis pula yang hendak menghalangnya?" tanyanya hairan.

BAHAYA MENABUR FITNAH...!!!

Wahai kaum Muslimin yang dirahmati Allah,
Marilah kita meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benarnya iaitu dengan mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi mukmin yang sejati dan mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat. Amin Yarabbal Alamin.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana melimpahkan nikmat yang tidak terkira banyaknya kepada kita. Di antara nikmat yang utama yang dikurniakan Allah Subhanahu Wata'ala kepada hambanya ialah lidah. Lidah mempunyai kebaikan dan manfaat yang amat banyak, bagi mereka yang menjaga dan menggunakannya ke arah tujuan yang sebenar seperti berzikir kepada Allah Subhanahu Wata'ala, membaca Al-Quran, berdakwah menyeru manusia ke arah mentaati perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya dan memberi nasihat serta teguran yang berguna kepada sesama manusia. Sesungguhnya lidah itu merupakan nikmat yang amat berharga kerana itu kita hendaklah menjaga dengan sebaik-baiknya, jangan sampai disalahgunakan seperti membuat fitnah.
Namun dalam era kemajuan sains dan teknologi ini, manusia bukan sahaja menyebar fitnah menggunakan lisan, tetapi juga melalui kecanggihan teknologi maklumat, samada melalui media cetak mahupun media elektronik. Tujuan kemudahan itu dicipta adalah untuk memudahkan kita melihat, mendengar dan menyebarkan apa jua berita dan maklumat tentang keadaan yang berlaku di sekeliling kita, samada apa yang berlaku di dalam negeri mahupun di luar negeri. Oleh itu kita hendaklah menggunakan kemudahan-kemudahan tersebut dengan baik dan bijaksana. Namun apa yang membimbangkan pada masa ini terdapat segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab dan menyalahgunakannya untuk menyebarkan berita-berita yang tidak benar, khabar-khabar angin apatah lagi yang mengandungi unsur-unsur fitnah.
Ahli jumaat yang dirahmati Allah,
Kita perlu mengetahui fitnah itu adalah satu perkara yang buruk dan boleh menjejaskan maruah seseorang. Fitnah ialah tuduhan, khabar, kisah dan lain-lain yang diadakan atau dibuat-buat untuk memburukkan seseorang dan memfitnah pula ialah membuat fitnah dan mengada-adakan sesuatu untuk memburuk-burukkan sesuatu pihak yang dilakukan samada dengan perkataan atau tulisan atau isyarat dan gerakan dan sebagainya, samada perkara itu sememangnya suatu keaiban atau kekurangan mahupun bukan. Orang yang membuat fitnah itu dikatakan juga sebagai orang yang membawa mulut atau mengadu domba.
Adapun perbuatan fitnah itu hukumnya adalah haram dan termasuk dalam perkara dosa-dosa besar. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Qalam ayat 10-11 tafsirnya:
"Dan janganlah kamu menurut kemahuan orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina, yang suka mencaci, lagi yang suka menyabarkan fitnah hasutan".
Diriwayatkan daripada Huzaifah Radiallahu Anha, beliau mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam bersabda maksudnya:
"Tidak masuk syurga orang yang suka memfitnah (mengadu domba)".
Daripada dalil-dalil tersebut jelas menunjukkan bahawa fitnah itu adalah suatu perkara yang sangat dilarang dan perlu dijauhi. Oleh yang demikian, kita hendaklah memelihara diri dan keluarga kita dari perbuatan menabur fitnah. Maka apabila disampaikan kepada kita suatu berita yang memburuk-burukkan orang lain, maka kita hendaklah memelihara diri kita daripada mendengarnya dan menghebah-hebahkannya kepada orang lain.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Memang tidak dapat dinafikan, dalam kehidupan kita berkeluarga, berjiran dan bermasyarakat, sememangnya kita tidak dapat mengelakkan diri dari mendengar berita-berita atau cerita-cerita yang diperbualkan ketika bertemu, samada ketika berada di majlis-majlis keramaian seperti majlis perkahwinan, majlis kenduri atau di kedai-kedai makan dan sebagainya. Dalam hal sedemikian, jika kita mendengar perbualan yang boleh mendatangkan dosa seperti cerita yang direka-reka, memburukkan orang lain, memfitnah dan sebagainya, maka kita hendaklah berusaha mengelakkan diri kita daripadanya, seperti tidak membenarkan atau mempercayai apa yang disampaikan itu kerana orang yang membawa fitnah itu adalah termasuk dalam golongan orang-orang yang fasik dan berita yang dibawa oleh mereka itu tidak boleh dipercayai.
Selain itu, kita sepatutnya melarang orang yang membawa fitnah itu daripada meneruskan perbuatannya dan menasihatinya serta menerangkan kepadanya bahawa perbuatannya itu adalah salah di sisi agama. Janganlah pula cerita yang disampaikan oleh orang yang memfitnah itu membuatkan kita terdorong untuk menyelidiki dan mencari-cari samada benar atau sebaliknya. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah Al-Hujuraat ayat 21, tafsirnya:
"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakkan dari sangkaan supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain".
Ahli jumaat yang dirahmati Allah,
Ketahuilah bahawa tidak ada orang yang suka dirinya diperkatakan atau menjadi bahan cerita orang, apatah lagi cerita itu tidak berasas, tidak benar dan hanyalah fitnah semata-mata. Oleh itu jika mendengar sesuatu cerita, berita atau khabar-khabar angin, maka hendaklah orang yang mendengar cerita, berita atau khabar-khabar angin itu tidak menceritakan atau memanjang-manjangkan lagi apa yang telah diceritakan kepadanya. Sebagaimana kita tidak suka diri kita diperkatakan orang, sepatutnya kita tidak juga memperkatakan tentang orang lain.
Jika difikirkan, apakah kebaikan yang boleh diperolehi daripada perbuatan-perbuatan sedemikian? Ia tidak lain hanyalah mengembirakan orang yang berhati busuk. Sedangkan sebenarnya mereka itu telah diperdaya oleh syaitan sehingga mereka menjadi kabur, lalu merasakan apa yang mereka lakukan seolah-olah tidak salah tetapi sebenarnya adalah buruk dan berdosa besar. Perkara ini bukan sahaja dilarang oleh agama islam, bahkan undang-undang dalam bernegara juga menegahnya dan boleh diambil tindakan, lebih-lebih lagi jika fitnah itu boleh menggugat keselamatan dan keharmonian dalam beragama, bermasyarakat dan bernegara, begitu juga dengan perbuatan mereka-reka dan menyebarkan khabar angin, baik dilakukan secara individu atau kumpulan, yang bertujuan untuk memfitnah atau mengaibkan maruah atau martabat mana-mana pihak, maka dalam hal ini, perbuatan tersebut akan diambil tindakan oleh pihak-pihak yang berkenaan sebagai langkah dalam memastikan keharmonian dan kententeraman awam.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Sebagai bahan renungan, pernah berlaku suatu perisriwa di zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam, yang lebih dikenalkan dalam kitab-kitab 'Sirah' Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam sebagai 'Hadisul Ifkhi', bila mana terjadinya fitnah ke atas isteri Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam iaitu Sayidatina Aisyah Radiallahu Anha.
Dalam peristiwa tersebut, Sayidatina Aisyah Radiallahu Anha telah difitnah oleh orang-orang 'munafik' yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai bin Salul, dan beberapa orang di kalangan Muslimin telah terpengaruh dengan cerita fitnah yang disebarkan itu. Mereka menabur fitnah mengatakan bahawa Sayidatina Aisyah Radiallahu Anha telah berlaku curang atau membuat hubungan sulit dengan seorang sahabat yang terkenal jujur dan amanah iaitu Safwan bin Al-Muathal. Akhirnya Allah Subhanahu Wata'ala menurunkan ayat Al-Quran sebagai penjelasan bersihnya Sayidatina Aisyah Radiallahu Anha di atas fitnah yang dilemparkan ke atasnya.
Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah Al-Nuur ayat 19, tafsirnya:
"Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebahnya tuduhan-tuduhan buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman,mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan ingatlah Allah mengetahui segala perkara sedang kamu tidak mengetahui yang demikian".
Muslimin yang berbahagia,
Membuat fitnah itu dipandang berat dan berat dan dilarang oleh agama islam sebab ia boleh menimbulkan permusuhan dan permusuhan pula boleh menimbulkan kepada perpecahan dan huru-hara. Fitnah adalah tuduhan yang tidak benar dan tidak berasas dan perbuatan itu mendatangkan azab diakhirat kelak. Ingatlah! Bahawa semua anggota tubuh badan termasuk lidah akan menjadi saksi di depan penghakiman Allah Subhanahu Wata'ala pada hari kiamat.
Akhirnya peliharalah diri dari perbuatan fitnah dan menaburnya. Didiklah diri kita, keluarga kita dan masyarakat dengan saling menasihati dan tegur menegur terhadap perbuatan yang membawa kepada dosa dan maksiat, apatah lagi membawa kepada dosa-dosa besar seperti membuat dan menabur fitnah. Semoga dengan sedemikian, kita dapat menikmati kehidupan yang aman tenteram, dan sentiasa mendapat petunjuk, hidayah dan berkat dari Allah Subhanahu Wata'ala. Amin Yarabal Alamin.
Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Baqarah Ayat 191 tafsirnya:
"Dan ingatlah bahawa angkara fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan".
(Teks khutbah Jumaat di atas dikeluarkan Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam yang dibacakan di seluruh masjid negara itu pada 10 Jun lalu. Rujuk: http://www.religious-affairs.gov.bn/index.php?ch=bm_info&pg=bm_info_khutbah&ac=464)

CURI DAN CURI.........!!

Ekoran pendedahan bahawa Kementerian Pelancongan membelanjakan RM1.8 juta untuk mengendalikan laman peminat Facebooknya, satu lagi akaun laman peminat Facebook atas nama "Curi-curi wang Malaysia" diwujudkan.

Menurut maklumat yang terpapar di laman peminat itu, ianya diwujudkan bertujuan membolehkan rakyat Malaysia menyuarakan bantahan terhadap Kementerian Pelancongan Malaysia yang membelanjakan RM1,758,432 untuk membuka dan menjaga laman peminat kementerian itu.

"Facebook adalah percuma. Jangan curi duit kami dengan cara bodoh ini dan cuba buat kami seperti orang jahil.

"Beri balik duit kami!", tulis pengendali laman itu.

Setakat berita ini ditulis, laman peminat Curi-curi Wang Malaysia ini sudah mendapat 19,044 peminat.

Jumlah itu dijangka akan terus meningkat apabila pautan ke laman peminat itu turut dipromosikan beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat melalui Facebook dan Twitter mereka.

Dalam beberapa respon kepada peminatnya, pengendali laman peminat ini yang diwujudkan secara percuma, menjelaskan mahu bersaing dengan laman peminat kementerian pelancongan.

Mereka juga mahu membuktikan mereka boleh mendapat jumlah peminat lebih tinggi dari laman kementerian itu tanpa sebarang kos.

"Ubah Sekarang untuk Selamatkan Malaysia! Kita selamat, kita jimat", seru laman itu.

Sementara itu, laman peminat 'Tourism Malaysia- Cuti-cuti Malaysia' setakat berita ini ditulis juga mendapat 26,082 peminat.

Persidangan Dewan Rakyat semalam 'dikejutkan' dengan penjelasan Timbalan Menteri Pelancongan, James Dawos Mamit bahawa kementeriannya memperuntukkan RM1.8 juta mewujudkan laman peminat Facebook kementerian itu.

Projek itu diberikan kepada agensi pengiklanan yang dilantik, Impact creations sdn Bhd bermula 2011 sehingga 2013.

Anthony Loke (DAP-Rasah) bagaimanapun mempersoal kenapa begitu besar jumlah wang 'dibazirkan' untuk Facebook itu yang sebenarnya hanya boleh dibuat secara percuma.

Pandangan bahawa jumlah itu sebagai 'pembaziran' juga turut dipersetujui Khairy Jamaludin (BN Rembau).

Utusan musuhi umat Islam di sebalik topeng Melayu....!!

Penyiaran kartun menghina Islam semalam menunjukkan wajah sebenar Utusan Malaysia yang dipelopori oleh Umno yang sebenarnya bersikap memusuhi umat Islam dan menyelinap di sebalik topeng Melayu Islam.

“Ia juga menunjukkan Umno sebenarnya tunduk dengan kemahuan MCA yang jelas menolak hukum-hukum Islam,” katanya Setiausaha Dewan Pemuda PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil (gambar).
Katanya, cetakan Utusan Malaysia semalam bukan sekadar memberi persepsi buruk bagi pembaca malah menghina hukum Islam yang jelas telah termaktub di dalam Al-Quran.
Baginya, bermotifkan sebagai satu penjelasan bertajuk “KEKELIRUAN KES ROGOL”, Utusan Malaysia sangat jahat apabila membenarkan sebuah karikatur yang menatijahkan imej negatif kepada agama Islam.
“Dewan Pemuda PAS Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ini dan menggesa supaya tindakan tegas diambil  ke atas Utusan Malaysia dan sekaligus menggantung akhbar yang kononnya mewakili suara orang Melayu itu,” ujarnya.
Katanya, karikatur itu dilihat berniat memburukkan Islam apabila ia dilukis dengan memberi mesej dan gambaran hukum Islam sangat lemah sedangkan hukum Islam itu datangnya dari Allah, sifatnya adil dan pelaksanaannya sudah terbukti berkesan.

Tambahnya, ia juga menggambarkan kolotnya Islam dengan seorang lelaki berjubah dan berserban menyelesaikan masalah berbanding dengan anggota polis, sekaligus menghina seluruh umat Islam.
Selain itu, ujarnya ia cuba mengelirukan umat Islam dengan memperlihatkan hukum zina secara permukaan (surface) sedangkan hukum itu masih ada perinciannya dan untuk menjatuhkannya tidak semudah itu.
Justeru, pihaknya menasihati Utusan Malaysia serta mana-mana individu agar lebih bersikap amanah di dalam menyiarkan sesuatu untuk paparan awam apatah lagi di dalam isu agama kerana silap langkah ia boleh menjatuhkan aqidah.
Beliau menambah, sekiranya di dalam Utusan Malaysia mempunyai pegawai agamanya yang tersendiri, Dewan Pemuda PAS Malaysia merasa amat malanglah dirinya kerana tidak menyekat tindakan-tindakan seperti ini.

“Dewan Pemuda PAS Malaysia tidak akan teragak-agak mengambil tindakan lebih tegas sekiranya Utusan Malaysia tidak menarik balik kenyataannya dan meminta maaf secara terbuka kepada umat Islam seluruhnya kerana telah mencalar kemuliaan agama Islam,” tegasnya.

Utusan hina syariat Islam....!!!



Ketika pemimpin Umno masih ‘trauma’ pendekatan baru diperkenal PAS, Negara Berkebajikan, tiba-tiba Utusan Malaysia menyiarkan kartun disifatkan menghina syariah Islam.

Lakaran kartun tersebut jelas sekali memperlekehkan sistem keadilan dan mempersenda-sendakan syariat Islam.
Ekoran itu Pemuda PAS Kelantan turut tampil mengecam keras lakaran kartun disiarkan akhbar Umno terbabit hari ini.
Ketua Penerangan Pemuda PAS Negeri, Ahmad Fadhli Shaari berkata, jelas sekali mesej yang cuba disampaikan Utusan betapa zalim dan primitifnya Islam yang menggariskan syarat empat saksi dalam penghakiman kes zina, liwat dan rogol.
Lakaran kartun yang disiarkan Utusan cuba menggambarkan seorang wanita yang mendakwa dirogol dan membuktikan dengan rakaman handphone ditolak tok penghulu kerana tiada empat saksi.
Manakala ketika wanita sama mengadu kepada polis, bukti rakaman rogol menggunakan telefon bimbit diterima.
Sindiran yang menghina itu dipercayai sengaja dicipta selepas PAS menolak ciptaan terbaru pemimpin Umno dengan video seks didakwa mereka membabitkan pemimpin Pakatan Rakyat.
Sedangkan firman Allah SWT dalam Surah an-Nur, ayat 4 bermaksud “Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawa empat saksi, maka sebatlah mereka 80 kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik.”
Bagaimanapun Ahmad Fadhli berkata, jika saksi tidak dapat dibawa, video atau apa jua bukti lain yang disebut sebagai qarinah boleh diterima, namun perlulah dibuat secara tertutup tanpa sebarang hebahan kepada awam.
Dalam perkembangan lain katanya, menteri yang menjaga agama pula membuktikan tiada kes murtad di Kelantan sejak 10 tahun lalu.
“Ini menggambarkan pentadbiran berteras Islam di negeri ini berjaya mengekang gejala tersebut, sedangkan mahkamah syariah di negeri lain menerima 863 kes murtad dalam tempoh tersebut,” ujarnya.
Kelantan satu-satunya negeri yang tidak mempunyai pemohonan murtad sepanjang 10 tahun lalu.
Sehubungan itu katanya, Pemuda PAS merakam setinggi-tinggi tahniah kepada kerajaan negeri dan seluruh umat Islam di atas kejayaan mengekang gejala muryad yang sedang melanda negara sekarang.
“Ini ada hubung kaitnya dengan kejayaan dasar Membangun Bersama Islam yang diperkenalkan kerajaan negeri semenjak 1990,” katanya.
Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mendedahkan statistik  perrmohonan murtad di seluruh negara daripada tahun 2000 hingga 2010.
Dalam tempoh tersebut sebanyak 863 permohonan direkodkan di Sabah dengan 238 kes, Negeri Sembilan (172 kes) dan Selangor (99 kes).