Selasa, 12 Julai 2011

SABTU = KUNING

PAS mendakwa pihak polis terlebih dahulu didoktrin soal perkauman berdasarkan corak tangkapan yang dilakukan pada perhimpunan Bersih 2.0 Sabtu lalu.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (gambar) berkata, media milik Umno BN dari awal lagi memainkan peranan menggambarkan seolah-olah wujud sentimen perkauman di sebalik penganjuran perhimpunan ini.

"Peringatan kepada media, jangan api-apikan soal perkauman, soal kononnya DAP memperalatkan orang itu, orang itu memperalatkan orang ini, dan sebagainya.

"Kita nampak corak penangkapan pihak polis pun telah didoktrinkan soal perkauman. Sebab itulah pempimpin DAP tidak ditangkap walaupun depan mata polis.

"Ini nak menunjukkan yang ditangkap ini pemimpin PAS, PKR, dan kami menjadi alat kepada DAP dan orang lain, dan nak menggambarkan DAP memperalatkan PAS dan seagainya dan ini dimainkan dalam televisyen," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai perhimpunan yang berakhir dengan 1,667 tangkapan termasuk 10 pemimpin parti politik itu, beliau menyatakan rasa kesal dengan sikap polis yang menjaga kepentingan Umno BN, bukan menjaga keamanan dan keselamatan orang awam.

"Polis bukan jaga keselamatan rakyat tapi jaga Umno BN, mereka lebih bersifat agen kepada Umno.

"Polis hendaklah jaga keselamatan rakyat, bukan keselamatan Umno. Kalau Umno jatuh polis tak jatuh.

Mereka tetap berkhidmat di bawah pemerintah baru tapi kalau polis dilihat jaga Umno, bila Umno jatuh, dengan ketua polis jatuh sekali," tegasnya.

Sambil mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Baharuddin Ahmad yang meninggal akibat menjadi mangsa kekejaman polis, beliau menyifatkan ianya sebagai korban awal dalam tuntutan demokrasi di Malaysia.

"Ini korban awal dalam tuntutan demokrasi dan kita harap tak ada korban lagi selepas ini. Semua pihak perlu belajar termasuk PDRM sendiri," ujarnya yang turut mengalami kecederaan di lutut selepas jatuh daripada motosikal akibat dilanggar dengan land rover polis.

Beliau terpaksa menjalani pembedahan Jumat ini kerana ligamennya koyak dan membatlakna segala program terdekat.

Sementara itu, beliau sekali lagi mengulangi pendirian PAS untuk meminta Bersih 2.0 mengadakan perhimpunan sekali lagi jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR0) tidak memenuhi lapan tuntutan mereka dalam masa terdekat.

"Kalau tak ada apa-apa menjelang pilihan raya akan datang, PAS akan mencadangkan kepada Bersih untuk membuat himpunan sekali lagi.

"Lapan tuntutan kita mesti dipenuhi. Selepas itu kalau BN nak menang, menanglah sebab kami tak ada masalah menerima kekalahan cuma yang kami tidak mahu ketidakadilan dan berlaku penipuan (dalam pilihan raya)," katanya.

Selain itu turut dicadangkan kepada Bersih 2.0 agar menjadikan hari Sabtu sebagai hari berpakaian kuning sebagai tanda tuntutan mereka terus diperjuangkan.

"PAS akan cadang kepada Bersih supaya dijadikan hari Sabtu hari memakai pakaian Bersih dan kuning untuk menyatakan perjuangan berterusan untuk mendapatkan pilihan raya adil dan bersih," katanya.

Tuntut penjelasan BN

Sementara itu, ahli jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Samad yang menerima enam jahitan di kepala akibat terkena kelonsong peluru gas pemedih mata meminta BN menyatakan pendirian mereka mengenai tindakan kasar ini.

"Kita minta BN jelaskan negara ini negara demokrasi atau negara komunis?

"Kalau nak memerintah secara komunis yang memerintah dari awal hingga  akhir, bagitaulah pada semua orang, pilihan raya ini hanya main-main tapi hakikatnya apa yang dikehendaki BN memerintah selama-lamanya," katanya yang juga ahli Parlimen Shah Alam.

Seorang lagi AJK Pas Pusat, dr. Dzulkifly Ahmad pula berkata, jika kerajaan tidak menakut-nakutkan rakyat khususnya peniaga, ramai peniaga yang akan mengaut keuntungan berlipat kali ganda.

"Apa yang kita tuntut apabila Bersih menganjurkan perhimpunan aman ia mesti dikendalikan oleh polis yang bertanggungjawab menjaga keselamatan dan bukan mengambil ruang untuk mengganas dengan arahan menteri.

"Kalau 100 ribu yang berhimpun dan aman perhimpunan itu dikendalikan oleh polis, katakan setiap seorang berbelanja RM100 ringgit sahaja untuk menginap dan makan minum tanpa membeli belah, sudah ada RM10 juta yang mereka bawa ini sudah tentu menambahkan KDNK untuk peniaga-peniaga sekitar Kuala Lumpur," jelasnya.

Baju Bersih: lagi ditangkap....??!!!!

Dua orang pemimpin PAS kawasan di Johor hari ini ditahan polis kerana memakai baju kunig bercetak "Bersih 2.0".

Kedua-duanya adalah Yang Dipertua PAS Johor Bharu Rosli Kemim dan Naib Yang DiPertua PAS Pulai Zaaba Ibrahim.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 12.30 tengahari ketika mereka sedang mengadakan sidang media bersama pemimpin PAS negeri itu selepas membuat laporan polis berhubung dakwaan keganasan pihak berkuasa pada perhimpunan Bersih, 9 Julai lalu.

Sidang media tersebut diketuai Pesuruhjaya PAS Negeri, Datuk Dr. Mahfodz Mohamad diadakan di sebuah kedai makan di depan balai polis Sentral JB.

Turut serta pada sidang media itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Mazlan Aliman dan Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kayat.

Ketika dihubungi Harakahdaily Mazlan memberitahu empat anggota polis datang menarik mereka ketika sidang media sedang berjalan dan terus dibawa ke balai.

"Habis sidang media kami terus ke balai. Kami tanya atas isu apa mereka ditahan sedangkan himpunan Bersih 2.0 sudah lepas.

"Tiba tiba ketua balai jawab, belaum ada arahan yang membatalkan arahan sebelum ini untuk menangkap mereka yang memakai baju Bersih," katanya.

Penangkapan itu dibuat dalam keadaan himpunan Bersih 2.0 yang didakwa kerajaan sebagai "mengancam keselamatan negara" berlangsung aman tiga hari lalu.

Mazalan yang juga anggota jawatankuasa PAS pusat turut menyelar penangkapan terbaru itu dengan mendakwa polis langsung tidak menggunakan budi bicara.

"Kalau kita ni saling hormat, boleh bertoleransi, apa salahnya tunggu kami selesai sidang media dulu...depan wartawan tu.

"Dan kalau betul pun tak dibenar pakai, boleh sahaja suruh mereka baju, tak perlu la tangkap," katanya.

Sehingga kini katanya, kedua-dua yang ditahan belum dibebaskan.

Bagaimanapun, peguam dan ahli keluarga masing-masing telah dimaklumkan.

Difahamkan, 20 penyokong kini berkumpul di luar balai bagi menuntut pembebasan kedua-dua pemimpin mereka itu dengan segera.

Berapa kos kerajaan halang himpunan Bersih 2.0....???!!!

Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Drs Khalil Idham Lim (gambar) mempersoalkan kewajaran polis mendedahkan kononnya kerajaan memperuntukkan RM25 setiap hidangan kepada penyokong Bersih 2.0 yang ditahan dalam perhimpunan aman di ibu negara, Sabtu lepas.

Beliau berkata, dikatakan sebanyak RM42,425 diperuntukkan untuk juadah bufet yang disediakan bagi menampung 1,697 individu ditahan.

Katanya, kenyataan tersebut dikatakan untuk menafikan dakwaan bahawa tahanan dilayan tanpa belas kasihan.

Dalam kenyataan itu juga Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, bukan hanya makanan umpama kenduri kahwin, polis turut menyediakan tempat solat untuk tahanan beragama Islam di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Jalan Semarak.

Dalam kenyataan itu dikatakan ruang solat, bilik rawatan perubatan juga disediakan bagi memberi keselesaan kepada peserta.

Tempat tahanan itu melibat Pulapol, balai polis di Jinjang dan Cheras.

“Bagi saya tujuan kenyataan yang dikeluarkan di atas adalah untuk menunjukkan baiknya pihak kerajaan melayan orang kena tahan (OKT) sedangkan realiti yang dapat disaksikan dengan ratusan jumlah rakaman yang tersebar dalam media baru dengan jelas menunjukkan para peserta himpunan aman Bersih dikasari dan ada yang diperlakukan seperti binatang,” ujarnya.

Persoalanya, kata beliau wajarkah seramai itu mereka ditahan sedangkan himpunan itu adalah himpunan aman dan sudahpun mendapat perkenan oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong.

Beliau yang juga Adun Titi Serong berkata, cuma pihak Hishammuddin sahaja yang berdegil untuk tidak memberi permit sesuai dengan pemohonan Jawatankuasa Bersih yang memohon untuk berhimpun di Stadium Merdeka.

Selain itu, soalnya kenapa pula pihak polis tidak sedikitpun mengeluarkan kenyataan walaupun didakwa anggota polis yang bertugas sebelum, semasa dan selepas perhimpunan hanya diberi makanan bungkus, namun berapakah jumlah biaya yang dikeluarkan untuk itu.

“Setahu saya jumlah pasukan keselamatan yang dikerah untuk bertugas melebihi 10,000 orang.
“Kalaulah seorang memerlukan peruntukan makan sebanyak RM10 sahaja tentunya biayanya lebih besar dari biaya untuk OKT iaitu RM100,000,” ujarnya.

Itupun, katanya tidak dikira lagi elaun perjalanan, dan lain-lain tuntutan bagi semua anggota yang terlibat.
“Jangkaan saya akan mencecah tujuh angka,” katanya.

Malah, ujarnya menurut OKT sejadah untuk sembahyang yang disediakan nampak baru semuanya dan berapa pula biaya untuk itu semua.

“Juga kenapa pula mereka tidak mengeluarkan kenyataan mengenai biaya menyediakan peluru gas pemedih mata dan air asid yang saya kira mungkin paling banyak digunakan pada himpunan aman itu,” katanya lagi.

Beliau menambah, sesungguhnya membesarkan jumlah biaya makan untuk OKT dangan merahsiakan jumlah biaya keseluruhan operasi menghalang hak dan kuasa rakyat berhimpun secara aman adalah sesuatu tindakan yang lucu dan tidak bertanggungjawab.

Justeru, beliau mengharapkan ada ahli Parlimen dari Pakatan Rakyat yang akan menjadikan topik itu sebagai soalan dalam sidang Parlimen akan datang.

Apapun, katanya tindakan menghalang himpunan aman adalah jelas satu tindakan yang sangat tidak bijak dan menggambarkan ketakutan yang amat sangat kepada demokrasi yang lebih bersih dalam negara kita.

Tambahnya, pemimpin Umno dan BN sangat takut dengan kuasanya yang akan hilang tanpa bantuan tongkat sakti selama ini yang semakin tidak sakti.

Baginya, apa saja alasan yang dikeluarkan oleh mereka sebelum dan selepas himpunan aman Bersih adalah usaha untuk menggambarkan himpunan itu gagal mencapai matlamatnya.

“Biarkan mereka cuba menipu rakyat dan dirinya sendiri. Marilah kita sama-sama bertekad untuk menyelamatkan Malaysia yang mesti diselamatkan dalam PRU akan datang.

 “Tidak ada lain hanyalah dengan berkerja dengan gigih dan tekun tanpa mengitra penat dan lelah. Apa lagi untuk takut kepada ancaman dari BN yang sudah tinggal nyawa-nyawa ikan itu,” katanya.

PBB pun selar KERAJAAN malaysia....!!!

Pertubuhan Bangsa-Bangsa bersatu (PBB) menyelar Malaysia kerana menggunakan pendekatan keras  bagi menangani perhimpunan aman anjuran Bersih Sabtu lalu.

Frank La Rue, pelapor khas PBB mengenai hak kebebasan bersuara berkata, tindakan pihak berkuasa Malaysia mengisytihar perhimpunan itu sebagai haram, menutup bandaraya dan bertindak ganas terhadap peserta perhimpunan, menunjukkan Malaysia memperlekehkan proses demokrasi, lapor KeadilanDaily.

PBB menegaskan Malaysia yang turut menggangotai Majlis Hak Asasi Manusia telah ‘mengehadkan kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan’.

Pakar hak asasi manusia PBB melahirkan rasa kurang senang dengan tindakan ganas pihak polis meleraikan peserta perhimpunan, termasuk melepaskan gas pemedih mata dan menyebur air kimia berasid kepada orang ramai.

Malah tindakan ganas itu turut membawa kepada kecederaan dan satu kematian, kata pesuruhjaya tinggi hak asasi manusia agensi itu dalam satu kenyataan dari Geneva lewat malam tadi.

Malaysia dipilih menganggotai majlis itu tahun lalu tetapi berhadapan kritikan ekoran undang-undang penahanan pencegahan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang menyukarkan peluang ia dipilih semula.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar menafikan pihak berkuasa bertindak ganas terhadap orang ramai Sabtu lalu, meskipun rakaman video di internet menunjukkan sebaliknya.

Dalam perhimpunan itu, lebih 1,600 orang ditangkap pihak berkuasa.

RAMAI KESAL TINDAKAN POLIS.....???!!

Kejayaan himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu telah mencatat sejarah baru buat seluruh rakyat Malaysia yang mencintai keamanan dan inginkan keadilan sistem pilihan raya.

Biarpun berdepan sekatan dan halangan pihak polis sejak tarikh perhimpunan diumumkan, kehadiran puluhan ribu rakyat pelbagai bangsa khususnya golongan muda membuktikan rakyat Malaysia benar-benar mahukan perubahan.

Berikut antara pendapat orang ramai yang sempat ditemubual dalam himpunan Bersih Sabtu lalu.

Mazni Osman- Klang

"Saya begitu kesal dengan tindakan polis yang keterlaluan. Sebelum tiga hari himpunan diadakan kita lihat jalan banyak disekat. Kebanyakkan kenderaan dibuat pemeriksaan oleh polis. Saya rasa negara kita yang sudah mencapai 52 tahun kemerdekaan ini seolah-olah kembali kepada zaman Jepun.

"Polis menangkap rakyat yang tidak bersalah seperti hanya membeli dan memakai baju kuning, bahkan pihak penganjur juga telah berusaha untuk meminta kelulusan permit tidak diberi. Perbincangan telah diadakan berulang kali namun tidak mendapat kerjasama dengan baik. Sikap mereka ini membuatkan rakyat terutamanya belia yang semakin matang berfikir tahu sama ada mahu menyokong BN atau ingin menyokong Pakatan Rakyat (PR) pada pilihan raya akan datang."

Mohd Ismi Mat Taib- Perak

"Pada pandangan saya, rakyat Malaysia yang menentang himpunan ini seharusnya kena faham mengapa kita semua berada di Kuala Lumpur. Ini semua adalah untuk masa depan anak cucu kita juga.Sistem demokrasi Negara kita semakin tenat dan memenatkan semua pihak untuk memulihkannya kembali. Rakyat seharusnya fikir untuk jangka masa panjang bukan untuk masa pendek.

“Kita juga merasa sungguh kesal dan kecewa dengan tindakan polis yang berat sebelah. Mengapa himpunan Bersih 2.0 yang diadakan begitu aman telah diprovokasikan oleh media dan polis?. Mengapa hanya penyokong himpunan Bersih 2.0 sahaja di beri tekanan yang hebat? Rakyat ditangkap, disepak dilayan dengan buruk sekali tetapi mengapa himpunan Patriot yang dibawa oleh pemuda Umno tidak di tangkap seperti kami dikenakan tindakan.

"Mengapa rakyat yang tidak bersalah untuk berhimpunan dan tidak memakai baju Bersih 2.0 hanya menyimpan dalam beg ditangkap? Polis benar-benar tidak tulus menjalankan tugas. Adakah mereka diberi rasuah oleh pihak kerajaan sehingga melaksanakan tugas yang sedemikian rupa?”.

Umi Syazariah Meor Hashim- Johor
"Saya rasa tindakan yang diambil oleh kerajaan dengan mengarah semua pihak polis menangkap peserta himpunan Bersih 2.0 adalah satu kesalahan besar. Kerajaan menggunakan kuasa BN mereka yang keterlaluan sehingga rakyat tidak diberi peluang untuk berhimpun secara aman.

"Sebagai pimpinan mereka seharusnya menerima pandangan rakyat bukan menolaknya bulat-bulat. Tetapi fenomena hari ini PM telah menunjukkan sifat munafiknya kerana gagal melunaskan janji untuk menyediakan stadium kepada rakyat. Apakah salahnya mereka memberi kelulusan dalam himpunan Bersih ini yang sudah jelas termaktub hanya menuntut pilihanraya yang tulus dan adil bukan untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.

"Ini menunjukkan Umno serta pihak polis yang memberi kerjasama sepenuhnya kepada BN boleh dikatakan seperti takut dengan kebangkitan rakyat terutamanya apabila melihat generasi muda yang hadir pada hari ini ramai berhimpun untuk menuntut pilihanraya yang tulus."

Roginy Ponnampalam- membuka perniagaannya di KTM Kuala Lumpur pada hari himpunan Bersih.

“Setiap hari saya membuka kedai disini waktu yang sama kira-kira 6 pagi tetapi begitu sukar untuk mendapat keuntungan yang besar. Hari ini sehingga 8 pagi, saya telah mencapai keuntungan kira-kira RM 600. Kalau nak dibandingkan hari biasa bukan semudah itu untuk mendapat keuntungan dalam RM100 sehingga jam 8 pagi. Saya yakin peniaga-peniaga samada mini market dan kedai makan juga mengalami keuntungan yang besar. Seperti di kedai makan di sebelah, orang ramai sentiasa keluar masuk untuk sarapan pagi. Kebiasaannya kedai mereka juga tidak seramai begini.

"Berbagai bangsa dan rakyat yang hadir pagi ini membuatkan saya tidak menang tangan melayan pelanggan untuk mereka membeli belah disini. Jualan air, roti, kad prabayar, akhbar begitu laris sekali. Saya tidak nampak rakyat yang hadir di sini membuat kekecohan tetapi saya menjadi hairan mengapa polis begitu ramai menjaga kawasan ini”.

Isnin, 11 Julai 2011

Kekasaran polis punca utama kematian Baharuddin...???!!

Bersih 2.0 hari mendakwa mereka menerima laporan bahawa punca utama kematian Allahyarham Baharuddin Ahmad adalah disebabkan kekasaran polis dan kegagalan mereka untuk memberikan bantuan perubatan yang sepatutnya dan pada masanya.

Dalam kenyataannya hari ini, Bersih 2.0 mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Baharuddin Ahmad sambil menuntut pihak berkuasa supaya tidak berdalih lagi dengan hakikat bahawa polis telah menggunakan kekerasan yang berat terhadap para peserta Bersih 2.0 dan melepaskan semua tahanan dengan kadar segera.

(Anak kedua Baharudin, Nazrul, memeluk Tuan Guru Nik Aziz ketika beliau mengunjungi rumah Baharudin semalam)

Cerita mengenai punca kematian Baharudin mula merebak sebaik sahaja jenazah Allahyarham dikeluarkan dari rumah mayat Hospital Kuala Lumpur jam 3 pagi semalam selepas menjalani postmortem.

"Empat tulang dadanya didapati patah manakala tiga batang giginya juga patah," kata Azhar Kassim, anak saudara Allahyarham Baharudin ketika ditemui Harakahdaily di rumah Allahyarham.

Sehingga kini, laporan postmortem tidak dikeluarkan oleh hospital kepada keluarga mangsa. Ia menjadi tandatanya keluarga kerana kenapa laporan itu tidak dikeluarkan sedangkan mayat dibenarkan untuk dikebumikan.

Usaha anak Allahyarham yang merupakan seorang doktor di HKL untuk mendapatkan laporan juga dikatakan tidak berjaya.

Menurut Azhar , pakciknya itu bekas askar dan kini menjadi polis simpanan.

"Dia tiada ada asma, jantung atau kencing manis...yang ada darah tinggi sahaja sedikit...pendek kata dia sihatlah," kata Azhar.

“Ini (kematian Baharuddin) hanyalah salah satu daripada pelbagai tindakan polis pada 9 Julai yang lalu yang mengakibatkan kecederaan teruk.

"Terdapat bukti video yang jelas menunjukkan polis menembak gas pemedih mata masuk ke perkarangan Hospital Tung Shin serta contoh-contoh lain yang menunjukkan polis membelasah orang-orang awam yang tidak bersenjata.

"Beberapa individu termasuk Ahli Parlimen YB Khalid Samad juga cedera parah apabila terkena kanister gas pemedih mata yang dilepaskan ke arah orang ramai. Terdapat banyak contoh yang lain. Kita menyeru para peserta untuk memberikan bukti gambar dan video insiden-insiden sedemikian kepada kita,” kata jawatankuasa Bersih 2.0.

Bersih 2.0 turut menyifatkan serangan bertubi-tubi terhadap para peserta demo aman Sabtu yang lalu sebagai mengejutkan.

“Kekejaman yang dilakukan dapat dilihat sendiri oleh warganegara Malaysia dan juga pemerhati antarabangsa. Ia telah menunjukkan tanpa raguan lagi bahawa pihak berkuasa telah gagal menjunjung dan memelihara perkara yang paling asas dalam hak asasi manusia seperti mana yang tercatat dalam Perlembagaan Negara,” tambahnya.

Jawatankuasa tersebut turut mengutuk penafian Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Ismail Omar tentang kekejaman dan kekerasan polis terhadap para peserta Bersih 2.0.

“Kenyataan daripada PM bahawa tiada ‘pertembungan fizikal’ antara polis dan para peserta yang berdemo secara aman sungguh bercanggah dengan bukti video yang berlambak, sama juga dengan kenyataan KPN yang menafikan tiada gas pemedih mata ditembak ke kawasan Hospital Tung Shin.

Kita mengharapkan integriti yang lebih tinggi daripada orang-orang yang diamanah untuk menerajui negara dan menjaga keselamatan kita,” selar jawatankuasa itu lagi.

Bersih 2.0 turut menuntut pihak berkuasa untuk melepas 6 tahanan dari Parti Sosialis Malaysia yang masih ditahan tanpa bicara, yang amat bercanggah dengan hak asasi manusia.

“Ahli Parlimen Dr Michael Jeyakumar baru-baru ini telah dimasukkan ke Institut Jantung Negara dan kami amat bimbang tentang kesihatan dan keadaan mereka. Mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan, dan kami menuntut mereka dibebaskan serta-merta tanpa syarat,” seru Bersih 2.0.

Selain itu, Bersih 2.0 turut mengutuk tindakan paranoid dalam menahan individu-individu semata-mata mereka memakai baju Bersih seperti yang dilaporkan di Sabah semalam.

“Ia sememangnya tidak perlu untuk tindakan paranoid sedemikian, dan pihak berkuasa mesti menghentikan semua ini,” tegasnya lagi, sambil menambah bahawa kekerasan sama sekali tidak akan melunturkan hasrat mereka untuk menuntut pilihanraya yang adil dan bersih.

“Ia jelas dengan kehadiran melimpah pada 9 Julai yang lalu bahawa sejumlah besar rakyat Malaysia bersetuju bahawa ada benda yang tidak kena dalam sistem pilihanraya kita,” kata jawatankuasa Bersih 2.0.

“Komitmen kita untuk mereformasikan sistem pilihan raya akan dan mesti mencerminkan keberanian dan perpaduan yang ditunjukkan pada 9 Julai dan semangat yang kita lihat akan terus menjadi inspirasi kita,” katanya lagi.

Bersih 2.0 dianggotai Ambiga Sreevenasan (presiden), Andrew Khoo, Arul Prakkash, Arumugam K., Dr Farouk Musa, Haris Ibrahim, Liau Kok Fah, Maria Chin Abdullah, Richard Y W Yeoh, Dr Subramaniam Pillay, Dato’ Dr Toh Kin Woon, Dr Wong Chin Huat, Dato’ Yeo Yang Poh dan Zaid Kamaruddin.