Selasa, 12 Julai 2011

RAMAI KESAL TINDAKAN POLIS.....???!!

Kejayaan himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu telah mencatat sejarah baru buat seluruh rakyat Malaysia yang mencintai keamanan dan inginkan keadilan sistem pilihan raya.

Biarpun berdepan sekatan dan halangan pihak polis sejak tarikh perhimpunan diumumkan, kehadiran puluhan ribu rakyat pelbagai bangsa khususnya golongan muda membuktikan rakyat Malaysia benar-benar mahukan perubahan.

Berikut antara pendapat orang ramai yang sempat ditemubual dalam himpunan Bersih Sabtu lalu.

Mazni Osman- Klang

"Saya begitu kesal dengan tindakan polis yang keterlaluan. Sebelum tiga hari himpunan diadakan kita lihat jalan banyak disekat. Kebanyakkan kenderaan dibuat pemeriksaan oleh polis. Saya rasa negara kita yang sudah mencapai 52 tahun kemerdekaan ini seolah-olah kembali kepada zaman Jepun.

"Polis menangkap rakyat yang tidak bersalah seperti hanya membeli dan memakai baju kuning, bahkan pihak penganjur juga telah berusaha untuk meminta kelulusan permit tidak diberi. Perbincangan telah diadakan berulang kali namun tidak mendapat kerjasama dengan baik. Sikap mereka ini membuatkan rakyat terutamanya belia yang semakin matang berfikir tahu sama ada mahu menyokong BN atau ingin menyokong Pakatan Rakyat (PR) pada pilihan raya akan datang."

Mohd Ismi Mat Taib- Perak

"Pada pandangan saya, rakyat Malaysia yang menentang himpunan ini seharusnya kena faham mengapa kita semua berada di Kuala Lumpur. Ini semua adalah untuk masa depan anak cucu kita juga.Sistem demokrasi Negara kita semakin tenat dan memenatkan semua pihak untuk memulihkannya kembali. Rakyat seharusnya fikir untuk jangka masa panjang bukan untuk masa pendek.

“Kita juga merasa sungguh kesal dan kecewa dengan tindakan polis yang berat sebelah. Mengapa himpunan Bersih 2.0 yang diadakan begitu aman telah diprovokasikan oleh media dan polis?. Mengapa hanya penyokong himpunan Bersih 2.0 sahaja di beri tekanan yang hebat? Rakyat ditangkap, disepak dilayan dengan buruk sekali tetapi mengapa himpunan Patriot yang dibawa oleh pemuda Umno tidak di tangkap seperti kami dikenakan tindakan.

"Mengapa rakyat yang tidak bersalah untuk berhimpunan dan tidak memakai baju Bersih 2.0 hanya menyimpan dalam beg ditangkap? Polis benar-benar tidak tulus menjalankan tugas. Adakah mereka diberi rasuah oleh pihak kerajaan sehingga melaksanakan tugas yang sedemikian rupa?”.

Umi Syazariah Meor Hashim- Johor
"Saya rasa tindakan yang diambil oleh kerajaan dengan mengarah semua pihak polis menangkap peserta himpunan Bersih 2.0 adalah satu kesalahan besar. Kerajaan menggunakan kuasa BN mereka yang keterlaluan sehingga rakyat tidak diberi peluang untuk berhimpun secara aman.

"Sebagai pimpinan mereka seharusnya menerima pandangan rakyat bukan menolaknya bulat-bulat. Tetapi fenomena hari ini PM telah menunjukkan sifat munafiknya kerana gagal melunaskan janji untuk menyediakan stadium kepada rakyat. Apakah salahnya mereka memberi kelulusan dalam himpunan Bersih ini yang sudah jelas termaktub hanya menuntut pilihanraya yang tulus dan adil bukan untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.

"Ini menunjukkan Umno serta pihak polis yang memberi kerjasama sepenuhnya kepada BN boleh dikatakan seperti takut dengan kebangkitan rakyat terutamanya apabila melihat generasi muda yang hadir pada hari ini ramai berhimpun untuk menuntut pilihanraya yang tulus."

Roginy Ponnampalam- membuka perniagaannya di KTM Kuala Lumpur pada hari himpunan Bersih.

“Setiap hari saya membuka kedai disini waktu yang sama kira-kira 6 pagi tetapi begitu sukar untuk mendapat keuntungan yang besar. Hari ini sehingga 8 pagi, saya telah mencapai keuntungan kira-kira RM 600. Kalau nak dibandingkan hari biasa bukan semudah itu untuk mendapat keuntungan dalam RM100 sehingga jam 8 pagi. Saya yakin peniaga-peniaga samada mini market dan kedai makan juga mengalami keuntungan yang besar. Seperti di kedai makan di sebelah, orang ramai sentiasa keluar masuk untuk sarapan pagi. Kebiasaannya kedai mereka juga tidak seramai begini.

"Berbagai bangsa dan rakyat yang hadir pagi ini membuatkan saya tidak menang tangan melayan pelanggan untuk mereka membeli belah disini. Jualan air, roti, kad prabayar, akhbar begitu laris sekali. Saya tidak nampak rakyat yang hadir di sini membuat kekecohan tetapi saya menjadi hairan mengapa polis begitu ramai menjaga kawasan ini”.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan