Khamis, 30 Jun 2011

DALAM KENANGAN.............

Dari Gudang Ilmu Ke Kancah Siasah

Malaysia semenjak zaman disentuh angin sejahtera Islam sejak ratusan tahun dahulu, tidak pernah gagal untuk menampilkan ulama’ dan pemikir Islam sehingga ada yang bermukim di Mekah untuk menyampaikan ilmu di Masjidil Haram. Ulama’ yang dilahirkan di Tanah Melayu ini bukan sahaja mampu mengajar kitab di masjid namun menjulang senjata untuk menentang penjajah kuffar. Antara ulama’ ini ialah Tuan Guru Haji Hassan Bin Munas, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong, Ustaz Abu Bakar al Bakir dan ratusan ulama’ lain.

Dengan merdekanya Tanah Melayu pada tahun 1957, pentas siasah negara ini menyaksikan pertarungan ideologi yang pelbagai samada kebangsaan Melayu, sosialisme, Islam dan sebagainya. Pelbagai tokoh muncul dalam menyuarakan aspirasi perjuangan yang diperjuangkan, sebahagiannya mampu bertahan di pentas siasah dan ada yang tersungkur ditelan waktu. Salah seorang insan yang telah melakar nama dalam sejarah politik Islam negara ini ialah Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor.
Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor atau dengan gelaran yang sangat melekat dalam jiwa ummat Islam sehingga kini “Ustaz Fadzil’ merupakan seorang pemimpin dan tokoh politik yang dihormati dan disegani oleh semua lapisan masyarakat tempatan mahupun antarabangsa, ekoran daripada penampilan negarawan yang dimiliki oleh beliau. Dengan sosok yang kurus, berbusana kemas dengan kancingan baju Melayu yang lengkap, dengan sorotan mata yang hening menggambarkan ketajaman berfikir, beliau memang dilahirkan sebagai pemimpin ummah.

Berbekalkan ilmu pengetahuan yang tinggi terutamanya ilmu-ilmu agama yang diperolehi ketika bertamu di bumi Mesir, beliau dipakejkan dengan pelbagai ilmu lain seperti sosial sains, ditambah dengan kuat membaca dan menelaah. Ilmu-ilmu yang dikutip di universiti kehidupan ini meluaskan ufuk ilmu tokoh ulama’ ini. Perwatakan yang sederhana serta sentiasa berdamping dengan masyarakat, beliau adalah sebutir mutiara yang sangat berharga yang pernah dilahirkan oleh PAS dalam sejarahnya di pentas politik dakwah negara ini. Musuh politik PAS sendiri meletakkan almarhum dengan markah yang tinggi bahkan masyarakat bukan Melayu turut mengkagumi sosok tubuh dengan postur yang sederhana ini. Almarhum menyeruak kehidupan masyarakat tanpa mengira penat lelah dan suka ‘mendengar’ masalah rakyat menyebabkan Ustaz Fadzil sentiasa dikenang dalam sisi putih.

Pakej kepimpinan yang ada pada beliau ini ditempa dalam proses pergulatan hidup yang panjang selain daripada anugerah ilahi kepada umat Islam negara ini, almarhum membesar dengan semangat cinta kepada ilmu, seterusnya meminati bidang dakwah dan politik semasa belajar di bangku menengah lagi.


Latar belakang keluarga

Dato’ Haji Fadzil @ Ali bin Mohd Noor atau lebih mesra dengan panggilan Ustaz Fadzil dilahirkan hasil perkongsian hidup antara Mohd Noor Abdul Hamid dan Hindun Haji Abdul Rahman. Beliau dilahirkan pada 13 Mac 1937 di Kampung Seberang Pumpung, kira-kira tiga kilometer dari bandar Alor Star, Kedah, beliau merupakan anak sulung daripada empat adik-beradik.

Takdir ilahi telah mencatatkan bahawa insan ini diuji dengan kehilangan ibubapa tercinta, kedua-dua ibu bapa meninggal dunia sewaktu beliau masih kecil lagi. Latar belakang keluarga sebelah ibu bapanya adalah dari kalangan keluarga yang berpegang teguh kepada ajaran Islam. Moyang beliau iaitu Tuan Guru Haji Idris Al-Jarumi merupakan salah seorang ulama’ yang disegani berasal dari Wilayah Patani, Thailand dan seorang yang terkenal di Kedah. Wilayah yang sarat dengan pemukiman ilmu ini telah memunculkan ratusan pondok yang subur merendang dengan ilmu Islam.

Darah ulama’ pejuang telah mengalir dalam urat sendi darah Ustaz Fadzil, sehingga menjadikan beliau pemimpin yang tidak gentar dengan ugutan dan ancaman musuh dalam menyampaikan agama Allah.


Pendidikan

Memimpin masyarakat bukan sekadar menjadi insan yang mesra rakyat yang sekadar memenuhi jemputan kenduri kahwin tetapi mestilah dipakejkan dengan ilmu formal dan tidak formal. Almarhum merupakan seorang tokoh yang konsisten dalam menuntut ilmu, sentiasa menimba ilmu bagi menjadi pemimpin yang kredibel.

Sejarah awal pendidikan Ustaz Fadzil bermula sekitar tahun 1946. Waktu itu beliau mengikuti pendidikan awal di Sekolah Melayu Derga, Alor Star sehingga tahun 1949. Kemudian menyambung pelajaran peringkat menengah di sebuah sekolah yang berpengaruh di Kedah yang telah melahirkan ribuan alim ulama’ iaitu Maktab Mahmud sehingga tahun 1958 sebelum meneruskan pengajian tinggi di tempat yang sama sehingga tahun 1962. Anak muda ini berjiwa besar dan sentiasa kehausan ilmu, beliau bercita-cita besar untuk belajar jauh dari tanahair iaitu di Timur Tengah. Pada tahun 1963 beliau menyambung pelajaran ke seberang laut dengan mengikuti pengajian di Universiti Al-Azhar di Mesir (sebuah institusi pendidikan yang paling berpotensi dan berprestij dalam dunia Islam) dengan mendapat biasiswa dari kerajaan negeri Kedah. Di Universiti Al-Azhar, beliau mengambil jurusan Perundangan Islam (Syariah) dan menamatkan pengajiannya pada tahun 1967 dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam lapangan tersebut. Beliau bukan sahaja mendapatkan ilmu daripada dewan kuliah di Al-Azhar tetapi juga menggali mutiara ilmu daripada ulama’-ulama’ Mesir untuk memantapkan ilmu beliau sebagai bekalan dakwah untuk pulang menabur bakti di tanahair.


Perkahwinan

Ustaz Fadzil mendirikan rumah tangga dengan sepupunya Siti Khadijah Ibrahim pada tahun 1963. Isteri beliau merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Farbish Bakar, Alor Star, Kedah. Setelah berkahwin, isterinya menemani almarhum belajar di Al-Azhar. Perkahwinan mereka yang sangat bahagia dalam kesibukan belajar dan berjuang telah membuahkan kurniaan lapan orang anak iaitu Huda, Ammar, Aiman, Muna ’Izzah, Muhammad Faiz, Salwa, Ahmad Fauwaz dan Ahmad Anas. Beliau bukan sahaja berjaya sebagai ahli politik malah merupakan ketua keluarga yang mithali dalam mendidik anak-anaknya dengan penuh kasih sayang dan bertanggungjawab. Sebahagian anak-anaknya juga terlibat dalam perjuangan Islam seperti Muna’izzah dan menantu beliau Sabki Yusuf.


Bakat Kepimpinan

Potret kehidupan yang digores selama kehidupan telah menyaksikan bakat kepimpinan yang tinggi teradun dalam diri almarhum. Bakat kepimpinan beliau mulai terserlah sejak di bangku sekolah terutamanya di Maktab Mahmud, di mana beliau memiliki kebolehan berpidato dan mewakili sekolah dalam pertandingan syarahan dan bahas. Keistimewaan yang ada pada beliau boleh berhujah secara spontan dan berkemahiran tinggi dalam ilmu mantiq. Pada tahun 1967, sewaktu di Al-Azhar, beliau pernah memegang jawatan Setiausaha dan Timbalan Presiden dalam Persatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).


Perkhidmatan

Tahun 1967 beliau pulang ke tanah air dan ditawarkan berkhidmat sebagai tenaga pengajar di Maktab Mahmud, ‘alma mater’ beliau sebelum ke Mesir. Pada 1973 ditawarkan berkhidmat sebagai pensyarah Bahagian Pendidikan Islam di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sehingga tahun 1978. Semasa berkhidmat di UTM, beliau telah dipecat oleh pihak pentadbir UTM ekoran tindakan beliau bertanding dalam pilihanraya pada tahun 1977 di Kawasan Dewan Undangan (DUN) Alor Merah dan Parlimen Kuala Kedah. Beliau dilihat tokoh yang berpotensi oleh Perhubungan PAS Kedah sebagai pemimpin masa depan.

Sebagai orang yang celik undang-undang, Ustaz Fadzil menfailkan saman ke mahkamah atas tindakan angkuh pihak pentadbiran UTM tanpa mengikut prosedur dan ternyata beliau di pihak yang benar. Pemecatan beliau oleh pihak pentadbiran UTM tidak sah di sisi undang-undang dan mahkamah telah mengarahkan pihak pentadbir UTM membayar ganti rugi. Setelah isu tersebut selesai, beliau kembali sebagai pensyarah dan beberapa bulan kemudian beliau meletakkan jawatan kerana menceburkan diri sepenuh masa dalam perjuangan PAS.

PAS di penghujung dekad 70an dilihat tidak bermaya selepas kekalahan dalam pilihanraya tahun 1978. Terlepas negeri yang menjadi pangkalan politiknya semenjak 1959 iaitu Kelantan. Seorang tokoh besar dakwah dari Indonesia, Dr Mohd Natsir pernah menasihatkan tokoh-tokoh dalam belia Islam di Malaysia supaya segera menguatkan PAS, kerana PAS adalah wadah untuk perjuangan Islam di Malaysia.


Aktiviti Kemasyarakatan

Selain aktif dalam politik Islam dan kerja dakwah, beliau juga pemimpin masyarakat yang bergiat cergas dalam kerja-kerja sosial. Beliau pernah memegang jawatan Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) cawangan Negeri Kedah. Beliau juga pernah menganggotai Angkatan Beliau Islam Malaysia (ABIM), sebuah wadah belia dan pemuda Islam di negara ini yang ditubuhkan pada tahun 1971. ABIM telah mengisi ruang kepada tuntutan Islam yang tegas akibat daripada penyertaan PAS ke dalam kerajaan campuran akibat tragedi 13 Mei 1969. ABIM seumpama simbiosis kepada Dewan Pemuda PAS dimana 8000 ahli PAS ialah ahli ABIM dalam dekad 70an, gerakan belia Islam ini sangat diminati kerana berusaha memurnikan perjuangan Islam terutama pendekatan yang dibawa oleh Ikhwanul Muslimin. Penerbitan ABIM juga aktif menyebarkan pemikiran tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin dan Jamiat Islami.

Fadzil Nor telah memegang jawatan setiausaha penerangan pertubuhan itu dari tahun 1973 hingga 1974. Beliau pernah memangku jawatan Presiden ABIM apabila Presidennya ketika itu, Anwar Ibrahim ditahan di bawah ISA (Anwar ditahan di bawah ISA akibat demonstrasi Baling yang menjadi mercu tanda kepada kebangkitan pelajar di negara ini. Beliau telah dibebaskan pada tahun 1976). ABIM yang ditubuhkan pada tahun 1971 telah mengisi kelompangan dunia ‘anti establishment’ akibat PAS yang menyertai kerajaan campuran. Almarhum ialah orang penting ABIM selain daripada Ustaz Wahab Zakaria, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman, Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin dan Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman, beliau disifatkan oleh Anwar Ibrahim sebagai orang rujukan dalam menggerakkan ABIM sebagai gerakan sosio dakwah yang penting dalam dekad 70an. Jaringan kader ABIM di seluruh negara ini juga akhirnya telah ramai menyertai PAS pada awal tahun 80an terutama selepas Anwar menyertai UMNO.

Sepanjang penglibatan dalam ABIM sebagai sosok utama perjuangan, beliau turut terlibat dalam demontrasi menentang isu kemiskinan di Baling, Kedah tahun 1974. Beliau juga terkenal sebagai penggiat tarbiah dalaman ABIM. Beliau banyak bergerak mengisi program usrah, tamrin dan seminar perkaderan di pelbagai tempat. Gerakan belia Islam ini juga banyak menerbitkan buku-buku fikrah dan harakah yang dituang oleh tokoh-tokoh seperti Hasan Al Banna, Sayyid Qutb, Maududi, apatah lagi ABIM menjadi gerakan fenomenal di kampus pada dekad 70an. Ustaz Fadzil juga merupakan Setiausaha Agung Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) tahun 1974, sebuah NGO yang penting di negara ini yang telah mewadahkan ulama’-ulama’ untuk mengerakkan kesedaran Islam kepada masyarakat dan kerap kali juga dilihat bertelagah dengan kerajaan BN dalam banyak isu yang bersangkutan dengan syariat dan akidah. Beberapa tokoh PUM juga kini menjadi tonggak penting kepada PAS seperti Ustaz Ahmad Awang dan Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin.

Beliau sangat rapat hubungannya dengan masyarakat dengan menghadiri majlis-majlis keraian, kenduri kendara, menziarahi orang sakit dan kematian. Jika tidak hadir beliau akan memaklumkan atau hadir ke majlis lebih awal daripada masa yang dijadualkan, pendek kata almarhum tidak akan mengecewakan undangan yang diterima. Beliau bergegas pulang dari sidang Parlimen semata-mata untuk meraikan sesuatu majlis yang diadakan oleh penduduk, sikap cakna dan mengambil berat kepada undangan masyarakat menyebabkan beliau sangat disayangi masyarakat.


Penglibatan dalam Politik

Beliau melibatkan diri dalam politik khususnya dengan perjuangan PAS sejak tahun 1959 sewaktu menuntut di Maktab Mahmud. Kecenderungan politik beliau telah dikesan oleh guru-guru dan juga ahli keluarganya. Kedah ialah pangkalan politik Ustaz Fadzil walaupun pernah ditawarkan untuk bertanding di negeri lain yang lebih selamat seperti di negeri Kelantan (Kelantan semenjak pilihanraya 1959 sentiasa membuka pintu untuk calon PAS dari luar Kelantan). Jelapang padi ini kaya dengan sekolah-sekolah agama dan penyokongnya yang setia sehingga telah mencetuskan beberapa insiden berdarah seperti peristiwa Memali dan peristiwa Lubuk Merbau (1985).

Beliau telah dilantik menjadi Yang Dipertua PAS kawasan Kuala Kedah dan Ahli Perhubungan PAS Negeri Kedah. Kemudian beliau menganggotai jawatankuasa PAS Kedah. Penonjolan daya kepimpinannya semakin cemerlang telah menyakinkan anggota parti untuk melantik beliau sebagai Naib Yang Dipertua PAS Pusat sepenuh masa tahun 1981 hingga 1983. PAS telah menghadapi transformasi kepimpinan pada tahun 1982 apabila Dewan Pemuda Pusat mengusulkan kepimpinan ulama’. Ustaz Fadzil adalah barisan ulama’ muda yang diberikan ruang untuk memimpin pergerakan Islam kontemporari paling tua di Malaysia.

Bintang beliau seumpama kejora di dada langit malam, pada tahun 1983 beliau telah dilantik menjadi Timbalan Yang Dipertua PAS sebelum diberikan kepercayaan penuh oleh seluruh ahli PAS untuk menjadi Yang Dipertua PAS pada tahun 1989. Pembabitan awal Ustaz Fadzil di dalam kancah politik pilihan raya bermula tahun 1978, di mana PAS telah memberi mandat kepada beliau untuk bertanding di negeri Kedah dalam pilihan raya umum iaitu di kawasan Parlimen Kuala Kedah dan DUN Alor Merah. Bakat dan potensi beliau sejak awal telah dihidu oleh pimpinan PAS Kedah seperti Dato’ Abu Bakar Umar yang mempelawa Ustaz Fadzil untuk membantu PAS di Kedah. Beliau dilihat anak muda yang akan mengisi barisan hadapan parti itu di Kedah apatah lagi dengan pengalamannya yang memimpin ABIM dan organisasi mahasiswa semasa menuntut di Mesir. Dalam pilihanraya tahun 1978 beliau kalah kepada Senu Abdul Rahman, namun pilihanraya itu telah memperkenalkan almarhum kepada pengundi kawasan itu.

Pada tahun 1980, beliau sekali lagi bertanding dalam pilihan raya kecil di kawasan DUN Bukit Raya berikutan kematian ahli DUN tersebut. Tahun 1982 beliau sekali lagi bertanding di kawasan DUN Bukit Raya dan seterusnya berjaya mempertahankan kerusi di kawasan itu selama empat penggal berturut-turut sehingga Pilihan Raya Umum 1995.

Pada 1982 beliau menang dengan mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Haji Safirol Haji Hasim dan calon bebas Mohd Mokhtar Abdullah dengan Majoriti 346 undi, 1986 menang dengan majoriti 2,215 undi mengalahkan calon BN Ahmad Zakuan Haji Ahmad, 1990 mengalahkan calon BN Dato’ Syed Mansor Barakbah dengan majoriti 1,829 dan pada Pilihan Raya Umum 1995 mengalahkan calon BN juga iaitu Fadzil Hanafi dengan majoriti 2,414. Pada Pada Pilihan Raya Umum 1999, Ustaz Fadzil mencatat dua kejayaan. Dalam Pilihan Raya Parlimen, beliau menewaskan bekas Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Othman Abdul (calon BN) di Pendang. Allahyarham mendapat 22,413 undi berbanding 19,474 undi oleh Othman. Kejayaan ini sangat manis kepada PAS kerana inilah sejarah PAS menang paling besar dalam merebut kerusi parlimen (menang 27 kerusi parlimen).

Di DUN Anak Bukit, Allahyarham mendapat 8,480 undi menewaskan calon BN, Dato’ Abdullah Hasnan Kamaruddin yang mendapat 6,640 undi. Kemenangan ini cukup manis kerana DUN ini adalah berada di pinggir bandar yang menandakan golongan kelas menengah menyokong perjuangan Islam termasuk orang bukan Islam. DUN anak Bukit adalah DUN baru yang dipecahkan melalui persempadanan semula kawasan pilihanraya dan tuah telah menyebelahi Ustaz Fadzil manakala Mohamad Sabu telah memenangi Parlimen Kuala Kedah. (Perlu diingat bahawa Mohd Sabu hanya menang kurang daripada seribu undi) maknanya Ustaz Fadzil telah mendapat banyak undi peribadi daripada luar kelompok PAS. Allahyarham juga berusaha keras agar Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang zalim dimansuhkan , akta tanpa bicara itu telah memberangus lebih 4000 orang mangsa sejak diperkenalkan pada tahun 1960, al marhum cukup dekat dengan kesengsaraan mangsa-mangsa tahanan ISA tanpa mengira latarbelakang mereka, samada daripada kalangan ahli PAS atau pun tidak. Beliau sangat konsisten dalam menentang akta ini kerana akta ini telah menjaring ramai ahli-ahli PAS dan juga aktivis ABIM sebelumnya.

Pada kira-kira jam 10.30 pagi 23 Jun 2002, Ustaz Fadzil menghembuskan nafas terakhir untuk menghadap Maha Pencipta, Allah SWT. Berbondong-bondong manusia menyerbu Hospital HUKM Kuala Lumpur, menyolati jenazahnya di Madrasah Mustaqimah bandar Tun Razak malah ratusan ribu yang lain telah berhimpun di Kedah untuk menghantar mujahid ulung ini, pemimpin yang akan terus tersemat ingatan tentangnya dihati setiap manusia yang berada dipelantar zamannya. Beliau mewasiatkan untuk disemadikan di tanah Muasassah Darul Ulum yang telah dibangunkan oleh al marhum untuk merealisasikan kompleks pendidikan PAS Kedah. Manusia telah bertali arus mendatangi Muasasah Darul Ulum untuk menziarahi makam beliau yang sangat sederhana, tanpa binaan megah melainkan sentiasa didatangi pengunjung untuk menitip doa kepada mujahid yang telah mewakafkan kehidupannya untuk perjuangan Islam. Semasa saat-saat akhir untuk urusan pengebumian, langit tenang seolah turut berduka, ribuan mata merah berair kesedihan dengan tazkirah ringkas daripada Tuan Guru Mursyidul Am yang sarat dengan makna mendalam seumpama tazkirah Saidina Abu Bakar di hari kewafatan Rasulullah. Kematian adalah kepastian kepada sebuah perjalanan hidup, tinggal lagi bagaimana kita akan memberi makna kepada kehidupan itu.

3,000,000 ohh 3 juta.....!!!

PAS mengalu-alukan kenyataan Datuk Seri Najib Razak yang dengan penuh bangga untuk menghimpunkan seramai 3 juta ahli Umno.

“Persoalannya bolehkah beliau mengumpul ahli sebanyak itu?” tanya AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Katanya, sedangkan untuk menghimpunkan 1 juta belia pada 27 hingga 28 Mei lalu pun gagal, yang hanya dihadiri lebih kurang 10 ribu orang sahaja.

Najib selaku Presiden Umno, berkata jika ia mahu, Umno mampu mengerahkan tiga juta anggotanya untuk menentang habis-habisan hasrat golongan yang mahu mewujudkan kekacauan melalui demonstrasi jalanan.

"Kita (Umno) ada tiga juta ahli, tidak termasuk parti komponen (Barisan Nasional)...kita boleh kumpulkan tiga juta orang yang tunggu isyarat. Kalau semboyan dibunyi, mereka juga akan berjuang habis-habisan... tetapi apakah itu satu cara yang bertanggungjawab," katanya ketika berucap pada satu majlis di Sipitang, Sabah, semalam.

Idris berkata, pengalaman Umno dalam siri-siri himpunan mereka berakhir dengan kegagalan, seperti program Semarak, himpunan untuk membuang kekebalan Raja-Raja Melayu dan pemimpin bersama rakyat walaupun mereka membuat kerahan kepada pegawai-pegawai kerajaan.

Baginya, apabila Presiden Umno mengaku boleh mengumpulkan 3 juta ahli hanya merupakan satu ilusi semata-semata kerana Umno di era ini bukan ada ruh perjuangan sebaliknya menyertai Umno hanya untuk mendapat benda.

Menurutnya, bertempit sorak marah kepada kerajaan Pakatan Rakyat bukan kerana rakyat ditindas, tetapi kerana saluran pernafasan pemimpin Umno semakin sempit kerana projek tidak diperolehi dengan mudah seperti zaman pemerintahan Umno BN.

Mereka, ujarnya tidak sanggup berhimpun jika tidak dibayar tambang dan nasi bungkus.
Ini, ujarnya boleh dilihat ketika hari penamaan calon pilihan raya, mereka tidak tahan lama untuk berhimpun, kadang- kadang beredar sebelum pengumuman dibuat.

“Ia berlainan dengan penyokong Pakatan Rakyat ia hadir dengan jiwa yang tulus dan suci sanggup berjemur dan berpanas semata-mata untuk menuntut pilihan raya yang adil,” katanya.

Rabu, 29 Jun 2011

BERSIH HARAM......PATRIOT & PERKASA HALAL.........???!!!!

Ahli Parlimen Pakatan Rakyat mencabar Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menjelaskan secara terperinci mengenai dakwaannya bahawa Bersih 2.0 adalah haram.

Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) berkata, dakwaan itu adalah tidak berasas sama sekali kerana Bersih 2.0 dianggotai oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik yang berdaftar secara sah.
"Saya cabar menteri membuat penjelasan mengenai kedudukan Bersih itu sendiri. Tolong nyatakan apa kesalahan Bersih (2.0) sehingga mengatakan ia pertubuhan haram sedangkan pertubuhan-pertubuhan yang menyertai Bersih ialah parti (politik) dan NGO yang berdaftar dengan pertubuhan dan tak ada kumpulan yang tak berdaftar," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Mahfuz turut menyanggah dakwaan Hishammuddin bahawa perhimpunan Bersih 2.0 9 Julai ini adalah haram sedangkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mengiktiraf perhimpunan aman sebagai tindakan yang sah di sisi undang-undang.

Tambahnya, Pemuda Umno dan Perkasa yang juga akan melakukan perhimpunan malah mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan kekacauan tidak pula diambil tindakan.

"Pemuda Umno, Perkasa dan pertubuhan silat lincah, mereka pertubuhan berdaftar tapi akan berhimpun dan sudah  buat kenyataan yang boleh mencetuskan peperangan.

"Kenapa mereka boleh memakai baju yang melambangkan pertubuhan mereka contohnya pemuda Umno pakai baju Patriot warna merah . Kenapa baju kuning Bersih tak boleh?" katanya yang juga naib presiden PAS.

Beliau turut meminta kerajaan berfikiran positif dengan membenarkan erhimpunan ini berjalan secara aman seperti yang dirancang pihak penganjur.

"Saya minta kerajaan berfikiran positif, membenarkan himpunan ini. kalau dia membenarkan himpunan ini boleh meredakan kemarahan rakyat tapi sekarang kerana kepentinagn politik Umno  BN menambahkan lagi kebencian rakyat  terhadap BN.

"Najib kata sekarang kebangkitan rakyat menyokong BN. Kalau dah rakyat sokong kenapa takut dnegan Bersih? Mesti Bersih tak dapat sokongan jadi tak perlulah halang," katanya.

Kutuk tekanan terhadap Bersih 2.0

Sementara itu, Tian Chua (PKR-Batu) mengutuk tindakan terdesak kerajaan yang mengenakan tekanan ke atas pihak yang menyokong Bersih 2.0.

Beliau merujuk tindakan terbaru polis menyerbu dan menggeledah pejabat Sekretariat Bersih 2.0 di Seksyen 4, Petaling Jaya hari ini.

Anggota polis didakwa tidak membawa sebarang waran dan kemudiannya terus menyelongkar fail dan menggeledah pejabat itu.

"Pakatan Rakyat  mengutuk keras tindakan ini. Kenapa bertindak keras terhadap NGO yang menjalankan tugas mereka sebagai warga Malaysia dalam lunas undang-undang?" katanya yang juga naib presiden PKR.

Dalam pada itu, beliau merayu pemuda Umno dan Perkasa memberikan komitmen untuk memastikan perhimpunan 9 Julai ini bebas daripada sebarang pertembungan.

"Saya mengulangi rayuan saya supaya Pemuda Umno dan Perkasa bersama-sama memberi komitmen untuk menunjukkan perhimpunan ini aman, katanya.

Datuk Kamaruddin Jaafar (PAS-Tumpat) pula mahu Kerajaan Pusat mengambil contoh kerajaan Kelantan di bawah pemerintahan PAS yang sentiasa konsisten membenarkan sebarang perhimpunan diadakan oleh Umno BN yang merupakan pembangkang di negeri itu.

"Di Kelantan banyak perarakan dilakukan kononnya tak puas hati isu air dan sebagainya.

"Tapi menteri besar terima dan  hantar wakil untuk terima memorandum.Kita konsisiten membenarkan sebarang perarakan," katanya.

Isnin, 27 Jun 2011

RM49 juta biaya rumah PM, TPM......??!!!!

Kerajaan membelanjakan hampir RM49 juta setahun untuk membiayai kos kediaman rasmi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Lebih tepat, sejumlah RM48,789,115.03 dibelanjakan termasuk kos sewa, kos baik pulih, bil elektrik dan bil air.

Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz dalam jawapan bertulisnya terhadap soalan Siti Zailah Mohamad Yusof (PAS-Rantau Panjang).

Zailah dalam soalannya mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan jumlah kos tahunan yang terpaksa ditanggung kerajaan bagi membiayai kedua-dua rumah pemimpin negara itu bermula tahun 2006 hingga 2010.

Dalam perincian jawapan yang diberikan itu, Nazri menjelaskan kos sewa untuk dua kediaman rasmi itu adalah berjumlah RM32,972,115.55, kos baik pulih RM3,581,744.78, bil elektrik RM10,267,868.15 dan bil air RM1,967,386.55 untuk satu tahun.

Mengulas jawapan kerajaan itu, Zailah ketika ditemui di Parlimen hari ini berkata, rakyat perlu menilai bagaimana kehidupan pemimpin mereka dalam keadaan rakyat disuruh berjimat.

"Kita boleh tengok, rakyat disuruh berjimat, tapi pemimpin negara belanja kos rumah sahaja hampir RM50 juta setahun," katanya.

Suhakam tuntut benarkan BERSIH 2.0.....!!!!

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang dibentuk oleh kerajaan sendiri menyeru pihak berkuasa untuk membenarkan perhimpunan aman Bersih 2.0 yang dirancang 9 Julai ini.

Bagi Suhakam, orang ramai mempunyai hak  untuk berhimpun dan menyuarakan pandangan secara aman, sepertimana yang termaktub di dalam Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan serta Perkara 20(1) Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat.

Demikian kata Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam dalam satu kenyataannya di tengah-tengah usaha yang dibuat oleh Umno dan alat-alatnya untuk membatalkan perhimpunan itu.

Antaranya adalah dengan berusaha agar perhimpunan itu menjadi kecoh dengan cara menganjurkan perhimpunan serentak serta membuat provokosi melalui badan-badan bukan kerajaan termasuk persatuan silat dan bela diri.

Usaha pihak-pihak yang menyokong perhimpunan Bersih 2.0 juga mendapat tentangan hebat dari polis sehingga mereka yang memakai baju T Bersih juga ditangkap dan disifatkan sebagai satu kesalahan.

Penganjuran majlis pra perhimpunan Bersih juga disekat oleh polis dengan ramai antara mereka ditangkap dan dikaitkan dengan kesalahan yang bukan-bukan termasuk cuba menghidupkan ideologi komunis yang sudah lama berkubur.

Berikut adalah kenyataan penuh dari Hasmy Agam.


"Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) merujuk kepada perhimpunan aman yang dirancang oleh Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) yang bakal diadakan pada  9 Julai 2011, dan juga perhimpunan-perhimpunan yang dilaporkan dirancang oleh Pemuda UMNO dan Perkasa, dan mengulangi pendiriannya bahawa orang ramai mempunyai hak  untuk berhimpun dan menyuarakan pandangan secara aman, sepertimana yang termaktub di dalam Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan serta Perkara 20(1) Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat.

"Suruhanjaya mengulangi syor-syor yang telah dikemukakan sebelum ini kepada Kerajaan untuk menghormati kebebasan berhimpun, seperti yang terkandung dalam, antara lain, Laporan Tahunannya kepada Parlimen, serta permintaan bagi pemansuhan sub-seksyen (2), (2A) - (2D), (4), (4A), (5), (5A) - (5C), (7) dan (8) Seksyen 27 dan Seksyen 27A Akta Polis 1967, dan mengesyorkan agar pihak Polis menggunakan cara yang bersesuaian dan tanpa keganasan sekiranya mereka mendapati ianya perlu untuk mengawal atau menyuraikan orang ramai semasa perhimpunan.


"Suruhanjaya menyeru pihak berkuasa untuk membenarkan perhimpunan aman tersebut dijalankan, dan kepada pihak-pihak lain yang merancang perhimpunan berkenaan agar melaksanakan hak mereka dalam keadaan terancang dan penuh tanggungjawab. Suruhanjaya akan memantau perhimpunan itu sewajarnya. "

Jangan sampai rakyat benci polis....!!!

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) mengingatkan polis bahawa tindakan mereka kebelakangan ini yang menangkap orang yang memakai baju Bersih 2.0 sewenang-wenangnya akan menyebabkan ketidakpuasan hati rakyat, yang asalkan tertumpu pada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bertukar kepada pihak polis.

“Tindakan polis kebelakangan ini akan menyebabkan rakyat yang asalnya tidak berpuas hati dengan SPR bertukar kepada polis,” kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataannya hari ini.

Beliau turut mengecam tangkapan polis terhadap aktivitis yang memakai atau menjual baju Bersih 2.0 sebagai satu yang amat bertentangan dengan hak asasi manusia dan nilai undang-undang.

“Tindakan menangkap mereka yang memakai baju Bersih atau menjual baju Bersih adalah nyata bertentangan dengan peraturan dan undang-undang.

“Atas alasan apa mereka ditangkap dan peruntukan mana yang digunakan (untuk menangkap mereka)?” soal beliau.

Kebelakangan ini, Bersih 2.0 bukan saja tidak diberi ruang bernafas oleh para pemimpin Umno BN yang tidak berhenti-henti mengecam perhimpunan pada 9 Julai ini.

Malah, katanya pihak polis sudah turut serta untuk menghalang perhimpunan Bersih 2.0 daripada berlaku dengan melancarkan gerakan di seluruh negara bagi menghalang badan pemantau pilihanraya itu daripada mempromosi perhimpunannya.

Sehingga kini, 81 orang telah ditahan polis dan jumlahnya dijangka meningkat ketika Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih) memperhebatkan lagi kempennya dalam tempoh dua minggu sebelum perhimpunan.

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang mengingatkan polis bahawa perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini bukan perhimpunan untuk menentang polis, tetapi untuk membaiki sistem pilihan raya.

Polis, kata beliau seharusnya melaksanakan tugas dengan adil dan saksama kepada semua rakyat.

Mengenai kekhuatiran ramai bahawa akan wujud pertembangan tiga kumpulan yang berhimpun pada 9 Julai ini iaitu Bersih 2.0, Pemuda Umno dan rakan akribnya Perkasa, Tuan Ibrahim berkata ia adalah tugas polis untuk mengelakkan pertembungan itu daripada berlaku.

“Sekiranya mereka dapat melakukan (mengasingkan dua kumpulan penyokong) di hari penamaan calon, mengapat tidak di Bersih 2.0?” soal beliau.

Beliau turut menyarankan polis untuk mewujudkan buffer zone untuk mengelakkan pertembugan dua kumpulan.

“Kalau polis gagal mewujudkan buffer zone maka rakyat akan menganggap polis gagal menjalankan tugas sebenar iaitu menjamin keselamatan rakyat,” kata beliau.

Jumaat, 24 Jun 2011

Provokasi di Perlis.....!!!!!!

PAS Perlis mengutuk keras tindakan provokasi dan kelakuan biadap pihak yang tidak bertanggungjawab yang cuba menimbulkan ketegangan rasa kebencian di kalangan penduduk di negeri ini.

Pagi tadi penduduk di sekitar Kangar dikejutkan dengan insiden sebuah kereta Toyota Camry telah disembur dengan cat hijau bertulisan "Bersih 2.0". Kejadian berlaku di sebuah lorong di belakang Pasaraya Aneka dekat sini.

Tidak jauh dari situ pula, dinding sebuah premis pula disembur dengan cat hijau dengan perkataan "Hidup PAS", manakala dinding pagar di sebuah premis berdekatan Masjid Syed Alwi pula disembur dengan tulisan "Joint Bersih 2.0" .

Menurut Timbalan Ketua Pemuda PAS Perlis, Ustaz Azmir Azizan, PAS Perlis menafikan sekeras-kerasnya penglibatan dalam perkara tersebut sambil menyifatkannya sebagai satu perbuatan provokatif yang bertujuan menimbulkan ketegangan di dalam masyarakat.

"Tindakan seperti ini mungkin perbuatan budak-budak nakal atau pihak yang didalangi pertubuhan tertentu dan merupakan salah satu cubaan memburukan imej Bersih dan menyuburkan bibit-bibit kebencian di kalangan rakyat.

"PAS Perlis tidak terbabit dengan perbuatan sebegini dan pimpinan PAS sendiri tidak akan mengizinkan ahlinya melakukan perbuatan bodoh dan tak bertamadun seperti ini," jelasnya.

Selain  itu katanya, Pemuda PAS Perlis menasihatkan mana-mana pihak yang cuba melakukan sebarang provokasi bodoh seperti ini supaya menghentikannya segera kerana rakyat secara umumnya sudah faham tujuan perhimpunan Bersih 2.0 diadakan.

"Kami menasihatkan ejen-ejen provokasi ini janganlah bertindak keterlaluan. Lagi banyak provokasi lagi ramai orang akan turun ke Kuala Lumpur pada 9 Julai nanti. Sekali lagi ditegaskan, perhimpunan Bersih yang akan diadakan adalah himpunan aman dengan tujan yang murni untuk menuntut sebuah sistem pilihanraya yang adil," jelasnya.

Nasihatnya lagi, mana-mana pihak yang menjadi mangsa perbuatan yang tidak bertanggungjawab seperti ini supaya membuat laporan polis.

"Apapun kami menjangkakan menjelang perhimpunan Bersih nanti lebih banyak lagi provokasi yang akan dilakukan oleh mereka yang tak bertanggungjawab. Sila tampil membuat laporan polis sekiranya anda menjadi mangsa," tegasnya.

Isnin, 20 Jun 2011

Scorpene: Peguam Perancis tiba 20 Julai....!!!

Peguam Perancis yang mengendalikan skandal Scorpene yang difailkan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) di Mahkamah Perancis, akan tiba di Kuala Lumpur pada 20 hingga 24 Julai ini.

Keadilan Daily melaporkan kedatangan mereka ke negara ini adalah untuk memberikan maklumat terkini tentang siasatan kes itu.

Pengarah Eksekutif Suaram, Cynthia Gabriel memaklumkan KeadilanDaily.com sewaktu ditanya tentang perkembangan terkini siasatan skandal Scorpene melibatkan pembayaran ‘komisen’ hampir RM500 juta kepada sebuah syarikat yang dikenali sebagai Perimekar Sdn Bhd.

Perimekar dimiliki Ombak Laut, syarikat kepunyaan kenalan rapat perdana menteri, Abdul Razak Baginda dengan pemegang saham terbesar syarikat itu adalah isteri Razak.

Menurut Cynthia, peguam dari Perancis, William Bourdon dijangka berada di Malaysia selama empat hari untuk memberi penerangan kepada Suaram dan juga orang ramai berhubung status terkini siasatan itu.

“Peguam Perancis yang menyiasat skandal Scorpene ini akan tiba lewat bulan Julai sekitar 20 hingga 24 Julai untuk memberi maklumat dan memaklumkan kita tentang perkembangan terbaru siasatan skandal Scorpene di Perancis.

“Beliau dijadual menyampaikan ucapan pada 21 Julai di Pulau Pinang dan 23 Julai di Kuala Lumpur. Di antara ahli politik yang sudah bersetuju untuk turut serta adalah Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua,” kata Cynthia.

Akhbar Suara Keadilan baru-baru ini mendedahkan dua lagi bayaran komisen berjumlah RM32.5 juta, selain RM493 juta yang didedah lebih awal dalam proses pembelian dua kapal selam Scorpene.

Dua komisen itu terbongkar selepas pihak berkuasa Perancis memperoleh dokumen hasil serbuan ke atas DNCS, syarikat yang membina dan menjual kapal selam kepada negara ketiga termasuk Malaysia.

Sebelum ini, sebuah laman web Perancis, Rue89 mendedahkan, syarikat Perancis, Armaris tidak pernah membayar Perimekar RM493 juta, sebaliknya dibayar kerajaan Malaysia sendiri.

PAKATAN RAKYAT menang, NAJIB pun ada jawatan.....!!!

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Umno BN sedang berusaha keras mencari jalan memecahkan perpaduan di antara PAS, PKR dan DAP.
Bercakap sewaktu menyampaikan ucapan penggulungan di Konvensyen Pilihanraya Keadilan di sini, beliau mengingatkan seluruh pemimpin dan ahli PKR di segenap peringkat agar bersedia menghadapi taktik kotor Umno BN.
Umno BN, jelasnya kini terdesak dan akan menghalalkan segala tindakan bagi memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.
"Pastikan hubungan kita dengan PAS dan DAP erat kerana Datuk (Seri) Najib (Razak) masih merencana bagaimana nak pecahkan kita.
"Mereka menggunakan polisi penjajah iaitu pecah dan perintah. Kita harus waspada", katanya dihadapan lebih 4,000 ahli PKR yang hadir dari seluruh negara memenuhi Dewan Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).
Antara taktik kotor Umno BN itu jelasnya, tindakan "membeli" pemimpin tertentu dari Pakatan Rakyat untuk dijadikan "tukang karut" menghentam dan memfitnah pemimpin dan dasar Pakatan Rakyat.
"Menjelang pilihan raya harga naik, bukan harga barang tapi harga tokoh-tokoh khianat.
"Mereka akan cari, tak dapat pemimpin kanan, pemimpin negeri. Tak dapat negeri, pemimpin cabang. Tak dapat cabang, pemimpin ranting. Tak dapat ranting, pemimpin tewas termasuk yang gagal menjadi calon", katanya melontar jangkaan.
Sehubungan itu beliau memberi ingatan kepada seluruh ahli PKR bersedia berdepan bakal "pengkhianat" itu.
Mengulas peluang Pakatan Rakyat pada PRU-13, Anwar yang juga Ketua Pembangkang yakin jalan ke Putrajaya makin hampir.
"Kalau tidak kerana penyelewengan dan taktik kotor Umno BN pada PRU 2008, tak payah tunggu 2011 ni, sekarang ini kita sudah berada di Putrajaya," jelasnya disambut sorakan hadirin.
Namun apa yang penting tegasnya, setiap ahli perlu berkerja keras bukan sahaja menyampaikan maklumat sebenar kepada pengundi, malah menyekat taktik kotor Umno BN itu jika mahu menguasai Putrajaya pada PRU akan datang.
"Ada PRU kita menang insya Allah... Ada kata worst case scenario, Anwar masuk penjara. Saya kata Anwar masuk penjara, tapi kita menang.
"Satu lagi best case scenario, Anwar tak masuk penjara, dan kita menang," katanya disambut tepukan gemuruh hadirin.
Konvensyen pilihan raya Keadilan merupakan kali pertama seumpamanya di Malaysia dan belum pernah diadakan mana-mana parti politik lain sebelum ini.
Dengan tema "Demi Rakyat" konvensyen itu menghimpunkan perwakilan PKR dari seluruh negara untuk mendengar amanat pimpinan tertinggi menjelang pilihan raya umum ke-13 yang mungkin berlangsung pada bila-bila masa sahaja.
"Ada orang tanya, kalau Pakatan menang, apa nak buat dengan Datuk Najib. Tak mengapa, kita dah sedia jawatan untuk dia," kata Anwar.

Terpalit APCO, Umno berlagak bela Palestin...!!!

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad (gambar) mendakwa Umno BN bersungguh-sungguh ingin menonjolkan diri sebagai pembela rakyat Palestin kerana namanya dikaitkan dengan perunding Yahudi, Apco Worldwide.

Beliau berkata, demi kepentingan politik, Umno BN sanggup bersikap biadab dengan cuba mengambil alih kuasa daripada pihak penganjur program Lifeline4Gaza (LL4G).
"Pandangan saya dalam kes ini Umno oleh kerana dipalit dengan Apco (Worlwide), maka dia nak bersihkan nama, nak tunjukkan diri dia di pihak yang kononnya nak membela orang Palestin kerana satu Malaysia sudah tahu mereka melantik penasihat daripada Yahudi Zionis.
"Untuk nak tonjolkan diri mereka sebagai pembela Palestin sangup nak rampas kuasa pengajur LL4G," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah akhbar yang mendakwa beliau ingin menarik diri daripada menyertai Misi kemanusiaan International Freedom Flotilla ll kerana Mohamad Sabu.
Semalam, Khalid berkata beliau sedang mempertimbangann sama ada akan menyertai misi tersebut 26 Julai ini atau tidak memandangkan Umno BN cuba menguasai program tersebut.
Malah, nama Mohamad Sabu sebagai pemidato pada program LL4G Sabtu lalu digugurkan atas arahan pihak Jabatan Perdana Menter (JPM).
"Ada akhbar laporkan saya lemah semangat demi Mat Sabu. Saya nak beritahu, kita sebagai orang Islam tak buat kerja demi manudia tapi buat demi Allah.
"Saya kecewa sebab Umno seolah-olah merampas kuasa daripada NGO penganjur LL4G.
"NGO penganjur program jemput Perdana Menteri rasmi program dan Mat sabu mewakili Pakatan Pakyat untuk berucap.
"Tapi setiausaha Najib telefon kata kalau Mat Sabu berucap Najib tak akan datang, Aman Malaysia akan tarik diri dan kerajaan akan tarik bantuan untuk LL4G," katanya.
Ugutan ini kata Khalid sangat mengecewakan kerana Umno tidak ikhlas dalam membawa isu kemanusiaan.
"Saya kecewalah dengan sikap yang ditunjukkan Umno yang nak ambil kesempatan demi kepentingan politik, nak tonjolkan diri sebagai juara sedangkan ini program NGO dan kenalah hormat NGO yang jadi penganjur, bukan beri ugutan.
"Ini menunjukkan kepentingan politik itu tetap menjadi perkiraan utama mereka," katanya yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat.
Difahamkan, beberapa NGO Islam seperti Cakna Palestin akan menarik diri dari misi tersebut kerana kecewa dengan Umno BN.

Sabtu, 18 Jun 2011

PERLEMBAGAAN NEGARA MALAYSIA

Perkara 5 hingga 13
Kebebasan Asasi
Perkara 14 hingga 22
Kewarganegaraan (Bab 1 – Perolehan Kewarganegaraan)
Perkara 23 hingga 28A
Kewarganegaraan (Bab 2 – Penamatan Kewarganegraan)
Perkara 29 hingga 31
Kewarganegaraan (Bab 3 – Tambahan)
Perkara 32 hingga 37
Persekutuan (Bab 1 – Ketua utama negara)
Perkara 38
Persekutuan (Bab 2 – Majlis Raja-Raja)agong
Perkara 39 hingga 43C
Persekutuan (Bab 3 – Pemerintah)
Perkara 44 hingga 65
Persekutuan (Bab 4 – Badan-badan Perundangan
Persekutuan)
Perkara 66 hingga 68
Persekutuan (Bab 5 – Acara)
Perkara 69
Persekutuan (Bab 6 – Keupayaan terhadap harta, kontrak Dan guaman )
Perkara 70 hingga 72
Negeri-negeri
Perkara 73 hingga 79
Perhubungan Antara persekutuan dengan Negeri-negeri
(Bab 1 – Bahagian kuasa-kuasa perundangan)
Perkara 80 hingga 81
Perhubungan antara Persekutuan dengan Negeri-negeri
(Bab 2 – Pembahagian antara kuasa-kusa pemerintah)
Perkara 82
Perhubungan antara Persekutuan dengan Negeri-Negeri
(Bab 3 – Pembahagian beban kewangan)
Perkara 83 hingga 91
Perhubungan antara Persekutuan dengan Negeri-negeri
(Bab 4 – Tanah)
Perkara 92
Perhubungan antara Persekutuan dengan Negeri-negeri
(Bab 5 – Pembangunan negara)
Perkara 93 hingga 95
Perhubungan antara Persekutuan dengan Negeri-negeri
(Bab 6 – Tinjauan, nasihat Persekutuan kepada Negeri dan
pemeriksaan mengenai kegiatan Negeri)
Perkara 95A hingga 95E
Perhubungan antara Persekutuan dengan Negeri-negeri
(Bab 7 – Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan)
Perkara 96 hingga 112
Peruntukan-peruntukan Kewangan (Bab 1 – Am)
Perkara 112A – 112D
Peruntukan-peruntukan Kewangan (Bab 2 – Pemakaian
Bagi negeri-negeri Sabah dan Sarawak
)
Perkara 113 hingga 120
Pilihanraya
Perkara 121 hingga 131A
Perhakiman
Perkara 132 hingga 148
Perkhidmatan Awam
Perkara 152 hingga 160B
Am dan Pelbagai

Kita lawan sistem p’raya kotor, bukan polis....!!!

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (gambar)menggesa polis Malaysia supaya segera berubah dan kembali kepada peranan sebenar sebagaimana polis di negara lain termasuk Eropah dan Indonesia.
"Sikap pihak polis di Malaysia sangat berbeza jika dibandingkan dengan sikap polis di negara lain dengan mengambil contoh di indonesia, di mana ketua polis Jakarta di sana akan membenarkan mana-mana pihak mengadakan demonstrasi aman dan para demonstran akan dilindungi dan perjalanan demonstrasi itu dikawal pihak polis.
Beliau berkata demikian pada ceramah pelancaran Bersih 2.0 peringkat negeri Melaka di Dataran Hamas, Kompleks PAS Jasin di sini malam tadi.
Begitu juga, katanya di negara-negara Eropah yang mana hampir setiap minggu rakyatnya termasuk pelajar-pelajar akan mengadakan himpunan aman dan pihak polis memberikan kebenaran dan mengawal keadaan sehingga tamat himpunan tersebut.
Baginya, kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar yang dilaporkan berkata, pihak polis akan membuat tangkapan terhadap mana-mana mereka yang menyertai himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai nanti sebagai suatu fenomena pelik di sebuah negara demokrasi yang diamalkan di Malaysia.
"Pihak polis memang ada kuasa, mereka boleh buat apa sahaja pada rakyat, kita bukan melawan pihak polis dan tiada niat untuk melawan, tetapi kita hanya melawan sistem pilihanraya yang kotor," ujarnya.
Beliau berkata, penganjur himpunan aman Bersih 2.0 tidak akan gentar dengan ugutan dan amaran pihak polis yang jelas tidak peka kepada hasrat dan kehendak rakyat yang mahukan pilihan raya yang telus, bersih dan adil.
Menurutnya, PAS sendiri akan mengarahkan seluruh ahlinya supaya hadir pada himpunan aman tersebut di mana kira-kira 300,000 ahli PAS dijangka akan mengambil bahagian pada 9 Julai ini.
Turut berceramah pada program tersebut termasuk Pesuruhjaya PAS negeri, Adly Zahari, Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Md Akin dan Pengerusi DAP Melaka, Goh Leong San; Ketua Pemuda PAS negeri, Yuhaizad Abdullah dan Yang Dipertua PAS Jasin, Kamarudin Sidek.

INGAT MALAPETAKA 18 JUN...??!!!!

PAS Kawasan Batu akan mengadakan satu majlis khas pada malam esok, 18 Jun, mulai jam 9.00 malam, di Markas PAS Kawasan Batu di Taman Melewar, di sini, bagi memperingati hari mala petaka bagi rakyat Malaysia yang berlaku pada 18 Jun 1948 lalu.
Sehubungan itu, para pencinta sejarah dan orang ramai dijemput hadir ke majlis itu yang akan diisi dengan pengkisahan tentang mala petaka yang melanda seluruh rakyat negara ini, ekoran kekejaman pihak British dengan kerjasama Umno.
Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Batu, Ishak Surin menjelaskan, mungkin ramai yang tidak menyedari, esok, 18 Jun, adalah hari amat malang bagi rakyat Malaysia kerana pada hari esoklah pihak British yang menjajah negara kita telah mengisytiharkan darurat di negara kita.
Menurut beliau, setelah pengisytiharan darurat pada 18 Jun 1948 itu, semua parti-parti politik di negara kita telah diharamkan, tokoh-tokoh politik di seluruh negara ditangkap, dipenjarakan dan dibunuh. 
Bagaimanapun, katanya, catatan sejarah hitam itu mungkin tidak disedari oleh sesetengah rakyat negara ini terutama generasi muda, sehingga membangkitkan kesedaran kepada beliau untuk mengadakan majlis tersebut.
Katanya, selain beliau, majlis itu akan melibatkan dua lagi ahli panel yang terdiri daripada Pengarah Arkib PAS, Fadli Abdul Ghani dan Wan Abdul Rahman Wan Abdul Latif dari Jabatan Penyelidikan PAS Pusat.
"Selepas ini, saya bercadang untuk mengembangkan lagi peringatan kita terhadap hari mala petaka bagi rakyat Malaysia ini dengan menyarankan kepada PAS agar menubuhkan Badan Penyelamat Maruah Bangsa pula," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.
Majlis Memperingati Mala Petaka Terhadap Rakyat Malaya yang akan diadakan malam esok, menurut beliau, diharapkan akan menjadi pencetus bagi penubuhan badan tersebut untuk membolehkan PAS mengatur langkah-langkah lain yang lebih jauh, demi kepentingan seluruh rakyat Malaysia.
"Penubuhan badan itu pada saya merupakan sesuatu yang penting kerana selepas itu bolehlah kita menuntut pihak British meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia di atas kekajaman yang dilakukan oleh mereka kepada kita dulu.
"Permohonan maaf dari pihak British itu penting kerana mereka tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya kepada kita kerana jika tidak mereka akan dikutuk oleh sejarah," katanya yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Badan Bertindak Demokrasi dan Mobilisasi PAS Pusat.
Menurutnya, majlis yang akan diadakan pada malam esok merupakan yang julung-julung kali diadakan di negara ini dan ia merupakan satu majlis yang penting bagi membolehkan rakyat negara ini mengingati kembali detik hitam sejarah negara.
"Selain itu, ia akan membolehkan kita mengetahui lebih jauh tentang Umno yang sememangnya sentiasa berusaha menghalang kebangkitan rakyat.
"Umno bukan sahaja bertindak seperti itu sekarang, tetapi sejak negara kita berada dalam penjajahan British dulu lagi dengan  bersekongkol dengan British dalam mengatasi kebangkitan rakyat," katanya.   
Beliau yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Pusat berkata, dengan persekongkolan Umno itu telah memudahkan pihak British memburu pejuang-pejuang kemerdekaan di tanah air, sehingga menyebabkan mereka teraniaya, ditangkap, dipenjarakan dan dibunuh.
"Sekarang Umno berkokok dengan mengatakan merekalah yang memperjuangkan kemerdekaan tanah air. Pada hal kemerdekaan tanah air ini bukanlah dicapai kerana perjuangan para pemimpin Umno, tetapi terhasil dari perjuangan pejuang-pejuang kemerdekaan sebenar yang dizalimi dulu.
"Orang ramai perlu tahu kejahatan Umno itu. Jadi tidak hairanlah jika Umno terus berusaha mengatasi kebangkitan rakyat sekarang. Sebab itulah saya hendak mengadakan majlis itu pada malam esok supaya rakyat sedar dan terus berjuang bagi melakukan perubahan terhadap politik tanah air," ujar beliau.