Isnin, 13 Jun 2011

Jawatankuasa siasat IPP tidak wakili suara rakyat......???!!!

Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) mempersoal tindakan kerajaan menubuhkan jawatankuasa bagi menyiasat isu pengeluar tenaga bebas (IPP) kerana didakwa tidak mewakili suara rakyat.

Mahfuz (gambar) sewaktu mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini sebaliknya berkata, kerajaan sewajarnya mempertimbangkan cadangan Tengku Razaleigh Hamzah (BN-Gua Musang) agar kerajaan menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat konsesi IPP.

"Apa perlu tubuh jawatatankuasa. Jawatankuasa tidak mewakili suara rakyat. Saya setuju dengan cadangan Gua Musang (Tengku Razaleigh Hamzah) yang minta ditubuhkan suruhanjaya untuk siasat bagaimana perjanjian itu dibuat dengan IPP yang langsung tidak mengambil kira kepentingan negara sendiri," katanya.

Naib Presiden PAS itu juga menyelar tindakan kerajaan yang sewenang-wenangnya menarik subsidi rakyat sebaliknya meneruskan subsidi kepada IPP.

Tambahnya, sia-sia kerajaan melantik konsultan dari luar negara semata-mata untukmemberi idea yang menguntungkan kerajaan.

"Pengguna yang terpaksa menanggung defisit kerana pendapatan pengguna tidak bertambah tapi perbelanjaan terus meningkat dengan berlaku kenaikan harga barang. Jadi saya nak minta penjelasan kenapa dengan pengguna begitu mudah untuk kurangkan subsidi, naikkan harga tetapi dengan IPP bila kita cadang macam-macam baru nak tubuh jawatankusa untuk nak kaji dan sebagainya.

"Saya pun hairan apa guna kita ada makmal, kita lantik konsultan daripada luar negara hanya bagi cadangan kepada kerajaan jika nak kurangkan defisit negara ialah kurangkan subsidi,tarik subsidi daripada rakyat.

"Yang itu tak payah lantik konsultan dari luar negaralah. Siapa-siapa pun boleh jawab. Kenapa sangat sukar untuk nak mengurangkan subsidi daripada IPP?" soalnya.

Sebelum itu, Datuk Seri Tiong King Sing dalam soalan asalnya meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menyatakan pelan jangka masa panjang kerajaan dalam menangani fenomena kenaikan harga minyak global terutamanya pengurangan subsidi minyak oleh kerajaan telah meningkatkan beban hidup rakyat.

Beliau juga ingin tahu persiapan syarikat-syarikat petroleum dalam menyediakan kemudahan stesen-stesen NGV dalam usaha menggalakkan penggunaan NGV sebagai bahan bakar alternatif.

Semalam, Kabinet telah menubuhkan satu jawatankuasa bagi mengkaji pelbagai aspek termasuk isu pengeluar tenaga bebas (IPP) dan bekalan tenaga kepada negara pada masa depan.

Jawatankuasa tersebut melibatkan tiga Menteri iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui dan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan