Sabtu, 18 Jun 2011

INGAT MALAPETAKA 18 JUN...??!!!!

PAS Kawasan Batu akan mengadakan satu majlis khas pada malam esok, 18 Jun, mulai jam 9.00 malam, di Markas PAS Kawasan Batu di Taman Melewar, di sini, bagi memperingati hari mala petaka bagi rakyat Malaysia yang berlaku pada 18 Jun 1948 lalu.
Sehubungan itu, para pencinta sejarah dan orang ramai dijemput hadir ke majlis itu yang akan diisi dengan pengkisahan tentang mala petaka yang melanda seluruh rakyat negara ini, ekoran kekejaman pihak British dengan kerjasama Umno.
Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Batu, Ishak Surin menjelaskan, mungkin ramai yang tidak menyedari, esok, 18 Jun, adalah hari amat malang bagi rakyat Malaysia kerana pada hari esoklah pihak British yang menjajah negara kita telah mengisytiharkan darurat di negara kita.
Menurut beliau, setelah pengisytiharan darurat pada 18 Jun 1948 itu, semua parti-parti politik di negara kita telah diharamkan, tokoh-tokoh politik di seluruh negara ditangkap, dipenjarakan dan dibunuh. 
Bagaimanapun, katanya, catatan sejarah hitam itu mungkin tidak disedari oleh sesetengah rakyat negara ini terutama generasi muda, sehingga membangkitkan kesedaran kepada beliau untuk mengadakan majlis tersebut.
Katanya, selain beliau, majlis itu akan melibatkan dua lagi ahli panel yang terdiri daripada Pengarah Arkib PAS, Fadli Abdul Ghani dan Wan Abdul Rahman Wan Abdul Latif dari Jabatan Penyelidikan PAS Pusat.
"Selepas ini, saya bercadang untuk mengembangkan lagi peringatan kita terhadap hari mala petaka bagi rakyat Malaysia ini dengan menyarankan kepada PAS agar menubuhkan Badan Penyelamat Maruah Bangsa pula," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.
Majlis Memperingati Mala Petaka Terhadap Rakyat Malaya yang akan diadakan malam esok, menurut beliau, diharapkan akan menjadi pencetus bagi penubuhan badan tersebut untuk membolehkan PAS mengatur langkah-langkah lain yang lebih jauh, demi kepentingan seluruh rakyat Malaysia.
"Penubuhan badan itu pada saya merupakan sesuatu yang penting kerana selepas itu bolehlah kita menuntut pihak British meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia di atas kekajaman yang dilakukan oleh mereka kepada kita dulu.
"Permohonan maaf dari pihak British itu penting kerana mereka tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya kepada kita kerana jika tidak mereka akan dikutuk oleh sejarah," katanya yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Badan Bertindak Demokrasi dan Mobilisasi PAS Pusat.
Menurutnya, majlis yang akan diadakan pada malam esok merupakan yang julung-julung kali diadakan di negara ini dan ia merupakan satu majlis yang penting bagi membolehkan rakyat negara ini mengingati kembali detik hitam sejarah negara.
"Selain itu, ia akan membolehkan kita mengetahui lebih jauh tentang Umno yang sememangnya sentiasa berusaha menghalang kebangkitan rakyat.
"Umno bukan sahaja bertindak seperti itu sekarang, tetapi sejak negara kita berada dalam penjajahan British dulu lagi dengan  bersekongkol dengan British dalam mengatasi kebangkitan rakyat," katanya.   
Beliau yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Pusat berkata, dengan persekongkolan Umno itu telah memudahkan pihak British memburu pejuang-pejuang kemerdekaan di tanah air, sehingga menyebabkan mereka teraniaya, ditangkap, dipenjarakan dan dibunuh.
"Sekarang Umno berkokok dengan mengatakan merekalah yang memperjuangkan kemerdekaan tanah air. Pada hal kemerdekaan tanah air ini bukanlah dicapai kerana perjuangan para pemimpin Umno, tetapi terhasil dari perjuangan pejuang-pejuang kemerdekaan sebenar yang dizalimi dulu.
"Orang ramai perlu tahu kejahatan Umno itu. Jadi tidak hairanlah jika Umno terus berusaha mengatasi kebangkitan rakyat sekarang. Sebab itulah saya hendak mengadakan majlis itu pada malam esok supaya rakyat sedar dan terus berjuang bagi melakukan perubahan terhadap politik tanah air," ujar beliau. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan