Hasrat Ahli Parlimen Bebas Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Hashim yang mahu Dewan Rakyat mengecam tindakan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) untuk mengadakan perhimpunan 9 Julai ini, tidak kesampaian.
Ianya ekoran usul yang dikemukakan oleh beliau itu ditolak oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar(gambar) mengambil ketetapan menolak usul yang dibawanya itu mengikut Peraturan Mesyuarat 18(1) itu selepas berpuas hati bahawa usul itu tidak perlu disegerakan.
"Kementerian Dalam Negeri melalui Polis Diraja Malaysia telah mengambil langkah perlu sebagai persediaan untuk menangani perhimpunan BERSIH itu dan akan sentiasa memantau aktiviti-aktiviti yang dijalankan agar dapat dibanteras dan dipastikan tidak berlaku perkara yang tidak diingini yang boleh mengancam keselamatan negara dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara," katanya.
Terdahulu selepas sesi soal jawab selesai, Zahrain mengemukakan usul meminta dewan mengambil ketetapan untuk mengecam sekeras-kerasnya segala tindakan Bersih.
Ianya termasuk gerakan 'menghasut' rakyat agar merusuh di jalanan sepertimana yang berlaku di beberapa negara Timur Tengah, termasuk Tunisia dan Mesir.
Beliau juga mahu persidangan mendesak Bersih supaya membatalkan cadangan mengadakan demonstrasi baik di Kuala Lumpur, mahupun di mana-mana negeri demi keselamatan rakyat dan negara.
Bersih yang turut disokong parti-parti politik Pakatan Rakyat serta NGO lain bercadang menghimpunkan lebih 500 ribu rakyat berarak dari beberapa lokasi di ibu negara menuju ke Istana Negara bagi menuntut reformasi pilihan raya.
Jika berjaya, ianya merupakan kali kedua diadakan selepas himpunan Bersih pertama pada 10 November 2007.
Sejak hasrat mengadakan himpunan itu dihebahkan, ianya kini mengundang reaksi penentangan oleh beberapa pihak termasuk kumpulan pendesak Melayu, Perkasa.
Presidennya, Ibrahim Ali kelmarin menegaskan mereka juga akan mengerahkan ahlinya berhimpun pada hari sama bagi menghalang peserta himpunan Bersih.
Selain itu, dalam perkembangan terbaru pihak polis juga telah mengeluarkan amaran untuk membuat tangkapan awal sebagai langkah pencegahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan