PAS Perlis mengutuk keras tindakan provokasi dan kelakuan biadap pihak yang tidak bertanggungjawab yang cuba menimbulkan ketegangan rasa kebencian di kalangan penduduk di negeri ini.
Pagi tadi penduduk di sekitar Kangar dikejutkan dengan insiden sebuah kereta Toyota Camry telah disembur dengan cat hijau bertulisan "Bersih 2.0". Kejadian berlaku di sebuah lorong di belakang Pasaraya Aneka dekat sini.
Tidak jauh dari situ pula, dinding sebuah premis pula disembur dengan cat hijau dengan perkataan "Hidup PAS", manakala dinding pagar di sebuah premis berdekatan Masjid Syed Alwi pula disembur dengan tulisan "Joint Bersih 2.0" .
Menurut Timbalan Ketua Pemuda PAS Perlis, Ustaz Azmir Azizan, PAS Perlis menafikan sekeras-kerasnya penglibatan dalam perkara tersebut sambil menyifatkannya sebagai satu perbuatan provokatif yang bertujuan menimbulkan ketegangan di dalam masyarakat.
"Tindakan seperti ini mungkin perbuatan budak-budak nakal atau pihak yang didalangi pertubuhan tertentu dan merupakan salah satu cubaan memburukan imej Bersih dan menyuburkan bibit-bibit kebencian di kalangan rakyat.
"PAS Perlis tidak terbabit dengan perbuatan sebegini dan pimpinan PAS sendiri tidak akan mengizinkan ahlinya melakukan perbuatan bodoh dan tak bertamadun seperti ini," jelasnya.
Selain itu katanya, Pemuda PAS Perlis menasihatkan mana-mana pihak yang cuba melakukan sebarang provokasi bodoh seperti ini supaya menghentikannya segera kerana rakyat secara umumnya sudah faham tujuan perhimpunan Bersih 2.0 diadakan.
"Kami menasihatkan ejen-ejen provokasi ini janganlah bertindak keterlaluan. Lagi banyak provokasi lagi ramai orang akan turun ke Kuala Lumpur pada 9 Julai nanti. Sekali lagi ditegaskan, perhimpunan Bersih yang akan diadakan adalah himpunan aman dengan tujan yang murni untuk menuntut sebuah sistem pilihanraya yang adil," jelasnya.
Nasihatnya lagi, mana-mana pihak yang menjadi mangsa perbuatan yang tidak bertanggungjawab seperti ini supaya membuat laporan polis.
"Apapun kami menjangkakan menjelang perhimpunan Bersih nanti lebih banyak lagi provokasi yang akan dilakukan oleh mereka yang tak bertanggungjawab. Sila tampil membuat laporan polis sekiranya anda menjadi mangsa," tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan