Harga ayam semakin melampau dan sukar diterima khususnya masyarakat bawahan.
“Persoalannya, kenapa harga ayam semakin tinggi seperti tidak ada tanda akan turun lagi?” tanya Setiausaha Dewan Pemuda PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil (gambar).
Di Johor Bahru, katanya harga ayam proses mencecah RM8.10 sekilo dan dijangka akan meningkat lagi 30 sen dalam masa terdekat.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Johari Baharum memberikan alasan bahawa musim cuti sekolah memang sering menjadi pendorong kenaikan harga bahan makanan tersebut selain sikap sesetengah peniaga yang cuba mengaut untung berlebihan.
Katanya, walaupun Datuk Mohd Johari memberikan komitmen bahawa Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) akan memastikan harga serta bekalan bahan makanan itu di pasar-pasar tani dipantau dan dikawal namun ia masih lagi tidak dapat dilaksanakan.
Beliau baru mendapat maklumat bahawa harga ayam di ladang naik dan pemborong mendapatkan harga RM6.90 dan seterusnya mendorong penetapan harga lebih mahal di peringkat peruncit.
Tambahnya, jika harga ayam yang dijual oleh pemborong telah mencecah RM6.90 maka apakah harga jualan kepada pengguna akan dijual pada harga yang sama dengan harga itu.
Apabila harga semakin mendadak naik sehingga mencemaskan pengguna, pada 7 Jun 2011 maka seperti kebiasaannya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengumumkan bahawa pasukan pemantau akan bertindak untuk memastikan peniaga yang mengambil bahagian menjual barangan mereka pada harga yang berpatutan.
Cuma bezanya, kata beliau kali ini ia dipantau melalui portal 1Malaysia Pengguna Bijak (1MPB) yang akan mengemas kini sebarang perubahan harga secara harian oleh seramai 1,200 pegawai pemantau harga (PPH) dari KPDNKK.
Sebelum itu, pada 21 Mei lalu, Timbalan Menteri KPDNKK telah menasihatkan peniaga agar tidak mengambil kesempatan menaikkan harga ayam ekoran permintaannya yang tinggi ketika itu.
Datuk Tan Lian Hoe berkata, peniaga tidak sepatutnya berbuat demikian hanya kerana kementerian tidak boleh mengawal harga ayam pada waktu biasa kerana ia ditentukan berdasarkan permintaan dan bekalan.
Menurutnya, isu kenaikan harga sebelum itu telah dibangkitkan iaitu sekitar bulan Mac lalu yang mana harga ayam mencecah sehingga purata RM8.20 satu kilogram, namun pada ketika itu Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar memberi jaminan harga ayam yang naik mendadak sehingga sekarang akan kembali normal menjelang April.
Apa pun alasan dan cadangan bagi menyelesaikan masalah kenaikan harga ayam, beliau ingin mendapatkan penjelasan, antaranya kenapa kerajaan tidak mampu mengawal kenaikan harga ayam.
“Adakah alasan yang diberikan oleh penternak sebenarnya berasas dan tidak mampu ditolak oleh kerajaan?
“Adakah kenaikan ini adalah kesan daripada penyelarasan subsidi seperti mana yang telah diumumkan oleh kerajaan?” soalnya lagi.
Beliau turut mempersoalkan, adakah kerajaan telah mewujudkan Program Stok Penimbal Ayam seperti yang pernah dicadangkan.
Katanya lagi, kenaikan harga ayam perlu ditangani segera.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan