Ekoran pendedahan bahawa Kementerian Pelancongan membelanjakan RM1.8 juta untuk mengendalikan laman peminat Facebooknya, satu lagi akaun laman peminat Facebook atas nama "Curi-curi wang Malaysia" diwujudkan.
Menurut maklumat yang terpapar di laman peminat itu, ianya diwujudkan bertujuan membolehkan rakyat Malaysia menyuarakan bantahan terhadap Kementerian Pelancongan Malaysia yang membelanjakan RM1,758,432 untuk membuka dan menjaga laman peminat kementerian itu.
"Facebook adalah percuma. Jangan curi duit kami dengan cara bodoh ini dan cuba buat kami seperti orang jahil.
"Beri balik duit kami!", tulis pengendali laman itu.
Setakat berita ini ditulis, laman peminat Curi-curi Wang Malaysia ini sudah mendapat 19,044 peminat.
Jumlah itu dijangka akan terus meningkat apabila pautan ke laman peminat itu turut dipromosikan beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat melalui Facebook dan Twitter mereka.
Dalam beberapa respon kepada peminatnya, pengendali laman peminat ini yang diwujudkan secara percuma, menjelaskan mahu bersaing dengan laman peminat kementerian pelancongan.
Mereka juga mahu membuktikan mereka boleh mendapat jumlah peminat lebih tinggi dari laman kementerian itu tanpa sebarang kos.
"Ubah Sekarang untuk Selamatkan Malaysia! Kita selamat, kita jimat", seru laman itu.
Sementara itu, laman peminat 'Tourism Malaysia- Cuti-cuti Malaysia' setakat berita ini ditulis juga mendapat 26,082 peminat.
Persidangan Dewan Rakyat semalam 'dikejutkan' dengan penjelasan Timbalan Menteri Pelancongan, James Dawos Mamit bahawa kementeriannya memperuntukkan RM1.8 juta mewujudkan laman peminat Facebook kementerian itu.
Projek itu diberikan kepada agensi pengiklanan yang dilantik, Impact creations sdn Bhd bermula 2011 sehingga 2013.
Anthony Loke (DAP-Rasah) bagaimanapun mempersoal kenapa begitu besar jumlah wang 'dibazirkan' untuk Facebook itu yang sebenarnya hanya boleh dibuat secara percuma.
Pandangan bahawa jumlah itu sebagai 'pembaziran' juga turut dipersetujui Khairy Jamaludin (BN Rembau).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan