PKR menyarankan agar Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak 'merehatkan' Ketua Wanitanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dari sebarang tugasan.
Ketua Wanitanya, Zuraidah Kamaruddin berkata, tindakan itu merupakan jalan terbaik untuk negara dari mementingkan kepentingan individu.
"Kenyataan Shahrizat semalam memberi mesej dan mencabar Najib kerana jika dia disuruh meletakkan jawatan, Shahrizat juga akan mengheret orang lain. Jadi dia (Shahrizat) suruh Najib pertimbangkan. Ini dilema Najib.
Sepatutnya Najib rehatkan Shahrizat sehingga isu Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) selesai dan lihat apa keputusannya," katanya kepada Sinar Harian Online hari ini.
Zuraidah berkata, apa yang ingin menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu sampaikan ialah, kesalahan yang dilakukan bukan hanya melibatkan dirinya seorang.
Semalam, Shahrizat memberitahu, beliau menyerahkan sepenuhnya keputusan mengenai kedudukannya sama ada akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) atau sebaliknya kepada Najib.
Beliau berkata, niatnya menyertai Umno ialah mahu memperjuangkan agama, bangsa dan negara, bukan semata-mata mengejar jawatan.
“Kena ingat, saya masuk jadi ahli Umno dan menjadi Ketua Wanita Umno Bahagian Kepong selama 30 tahun, di mana Umno Bahagian Kepong ini bukan kawasan ahli atau pemimpinnya akan menjadi calon.
“Kalau untuk merebut menjadi calon atau jawatan menjadi niat utama saya, tentunya saya tidak di Kepong, saya sudah pindah di bahagian lain yang ada potensi, namun saya tidak pindah kerana niat saya ikhlas,” katanya.