Langkah untuk menggabungkan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) dan Bank Muamalat diyakini berpunca dari tangan-tangan ghaib yang mengarahkan tindakan itu dilakukan, kata Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub.
Naib Presiden PAS Pusat, Salahuddin Ayub berkata, tindakan penggabungan itu diyakini dilakukan bagi menyelamatkan Bank Muamalat yang sedang mengalami masalah, walaupun ia terpaksa mengorbankan BIMB sendiri.
Namun yang anehnya, kata beliau, sehingga kini tidak pula terdapat kenyataan rasmi yang dikeluarkan mengenai masalah yang dialami oleh Bank Muamalat.
Katanya, PAS kurang senang dengan langkah penggabungan itu kerana ia jelas merupakan satu lagi tindakan bagi menyelamatkan sesebuah syarikat dengan menggunakan dana awam.
"Saya risau ini satu lagi 'bailout' yang merupakan budaya tidak sihat di negara kita dan akan terus membebankan rakyat,” katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.
Minggu lalu, DRB-HICOM, pemegaqng saham utama Bank Muamalat, menjelaskan minatnya yang dinyatakan kepada Bank Islam hanyalah semata-mata mahu meninjau kemungkinan penggabungan itu.
Syarikat itu berkata, ia tidak menyatakan minat untuk menjual 70 peratus kepentingan dalam Bank Muamalat.
Cadangan penggabungan itu akan menyaksikan kemunculan bank Islam yang besar dan ini seiring dengan saranan kerajaan untuk mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai pusat antarabangsa terkemuka untuk kewangan Islam.
Menurut Salahuddin, tindakan penggabungan itu tidak akan mendatangkan sebarang faedah kepada Bank Islam terawal itu kerana BIMB adalah anak syarikat BIMB Holding Bhd, dengan Tabung Haji yang merupakan pemegang saham terbesarnya dalam BIMB sebanyak 51 peratus.
“Jadi, apa guna Bank Islam mahu bergabung dengan Bank Muamalat? Apa faedahnya? Bank Islam sudah ada 115 cawangan di seluruh negara.
"Apa guna Bank Islam mahukan lagi Bank Muamalat. Kalau cawangan sikit, baru ada rasional, tapi Bank Islam ada rangkaian di seluruh negara. Begitu juga dengan Tabung Haji,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.
Beliau yang yakin dengan tindakan penggabungan itu dilakukan disebabkan Bank Muamalat mengalamai masalah besar, hairan dengan langkah penggabungan itu kerana ia pasti akan membebankan BIMB sendiri kerana terpaksa bergabung dengan bank yang bermasalah.
Pemegang saham terbesar Bank Muamalat adalah DRB-HICOM iaitu 70 peratus, manakala bakinya sebanyak 30 peratus lagi dipegang oleh Khazanah Nasional Bhd.
“Saya cukup bimbang berlaku satu lagi budaya tidak sihat yang akan merugikan rakyat di mana BIMB Holding mahu mengambil alih atau beli atau bergabung dengan Bank Muamalat.
“Bank Muamalat diharap telus dalam isu ini. Bank Muamalat mesti nyatakan status kewangannya dengan jelas, kena beritahu apa sebenarnya yang berlaku pada Bank Muamalat.
"Kalau ada masalah, apa masalah? Dan, apa guna Bank Islam mahu mengambil alih bank bermasalah ini?" jelasnya yang turut berhasrat untuk membangkitkan perkara itu pada persidangan Parlimen nanti.
Beliau turut berjanji akan mengutus surat kepada Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) atas kedudukannya selaku Ahli Parlimen bagi memaksa Bank Muamalat membekalkan kenyataan kewangannya.
"Jika ia beroperasi dengan lancar, kita ingin tahu selancar mana? Jika ia mencatatkan kerugian, berapa banyak yang rugi? Dan kenapa ia mahu bergabung dengan BIMB?” jelas beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan