Selasa, 19 April 2011

SAMAN EKOR : FAKTA & ISU

a) Apa itu Saman Ekor

JPJ : Saman ekor merupakan notis kepada pemilik kenderaan untuk memberi maklumat butiran pemandu kenderaan di bawah Seksyen 115 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang melakukan kesalahan yang berkenaan. Notis ini akan dihantar ke alamat pemilik kenderaan yang terdapat dalam pangkalan data JPJ. Istilah rasmi bagi saman ekor ialah Notis Pol.170A.

KDN : Saman ekor ialah saman yang dikeluarkan oleh mahkamah berikutan daripada satu notis yang dikeluarkan oleh pihak PDRM melalui borang polis yang dikenali sebagai borang POL 170A. Saman ini dikeluarkan berikutan atas kegagalan mematuhi notis POL 170A yang dikeluarkan oleh pihak PDRM. – Hansard Dewan Rakyat D.R. 29112010

Laman Web Galeri PDRM : Notis Pol. 170A ialah notis yang dikeluarkan di atas kesalahan yang dilakukan oleh kenderaan tanpa kehadiran pemandu atau kesalahan yang dilakukan oleh pesalah trafik tanpa ditahan polis seperti perangkap laju menggunakan LSD (Laser Speed Detecter) atau Laser Perangkap Laju dan RLC (Red Light Camera) atau Kamera Lampu Isyarat

Kesimpulannya
Saman Ekor ini bukan saman tetapi hanya Notis Meminta Maklumat Pemandu.


b) Penyampaian Saman Ekor.

Saman ekor dihantar secara pos berdaftar kepada pemilik kenderaan.

Penyampaian apa-apa notis boleh dibuat melalui Pos A.R Berdaftar mengikut Seksyen 118 APJ 1987.

Isu :
a) Adakah notis itu benar-benar dikeluarkan?
b) Adakah notis itu telah disampaikan?
c) Adakah notis itu sempurna diserahkan?


c) Prosedur Saman Ekor (Notis Seksyen 115 – Pol 170A)

i) Kenderaan yang melakukan kesalahan dikenalpasti.
ii) Notis dikeluarkan, disampaikan dan diserahkan kepada pemilik berdaftar kenderaan.
iii) Dalam tempoh tujuh (7) hari pemilik kenderaan hendaklah memaklumkan butiran pemandu yang memandu semasa kesalahan dikatakan telah dilakukan.
iv) Jika gagal memberikan maklumat setelah tamat tempoh boleh dikeluarkan saman kerana ingkar notis.


d) Apa itu Kompaun?

Kompaun adalah tawaran denda jika orang yang kena saman (OKS) mengaku melakukan kesalahan dan ingin menyelesaikan denda di luar Mahkamah.

a) Adakah kompaun itu bayaran mandatori/wajib?
Tidak, kompaun adalah tawaran sahaja. Jika tidak menerima tawaran, pihak yang menawarkan kompaun boleh mengambil tindakan lanjut.

b) Adakah kompaun diperuntukkan dalam Undang-Undang?
Ya melalui Seksyen 120 APJ 1987


e) Kesan ingkar kompaun.
Pihak yang menawarkan kompaun boleh mengambil tindakan lanjut iaitu dengan mengeluarkan saman kepada OKS.

Isu a) Dalam kes saman ekor – adakah saman dikeluarkan? - TIDAK


f) Apa itu SAMAN?

Saman ialah suatu notis gantian perintah daripada Mahkamah supaya orang yang kena saman (OKS) hadir ke Mahkamah.

Saman dikeluarkan mengikut Seksyen 53 (1) APJ 1987.


g) Kandungan Saman.

Setiap saman hendaklah mengandungi perkara-perkara berikut :-
- Lokasi Mahkamah
- Tarikh kehadiran
- Masa kehadiran
- No. Pendaftaran kenderaan
- Jenis kenderaan
- Jenis kesalahan
- Tempat kesalahan
- Masa kesalahan


h) Penyampaian Saman

Seksyen 53 (1) APJ 1987 menyatakan hendaklah diserahkan serta-merta kepada OKS dan hendaklah dibuktikan serahan telah dibuat.


i) Kesan ingkar Saman

Jika Saman dibuktikan telah diserah dan OKS tidak hadir ke Mahkamah pada tarikh dan masa yang ditetapkan, maka Mahkamah boleh mengeluarkan Waran Tangkap mengikut Seksyen 53(2) APJ 1987.


j) Hukuman

Jika saman telah diserah dan OKS hadir, OKS boleh samada hendak mengaku salah atau minta dibicarakan.

a) Jika mengaku salah – hukuman akan dijatuhkan oleh Mahkamah.

b) Jika dibicarakan – bergantung kepada keputusan samada kesalahan dibuktikan atau tidak. Jika dibuktikan maka akan dijatuhkan hukuman. Jika tidak dapat dibuktikan maka akan dilepaskan.


k) Penguatkuasaan.

Jika hukuman telah dijatuhkan terhadap OKS maka OKS hendaklah memenuhi perintah hukuman samada membayar denda, penjara dan sebagainya.

Jika denda dibayar maka selesai kes saman tersebut. Jika tidak dibayar maka OKS akan dipenjarakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan